EMPAT jawatan Exco Kerajaan Negeri Sembilan yang dikosongkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional tidak akan diisi.
Sebaliknya kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, portfolio yang ditinggalkan oleh empat ADUN tersebut akan dilaksanakan oleh enam Exco sedia ada dan perkara itu sudah dipersetujui kerajaan negeri bagi memastikan pentadbiran berjalan lancar seperti biasa.
“Tiada Exco baharu. Kita telah bersetuju supaya tugasan itu dipangku oleh Exco sedia ada. Ia tidak akan diisi,” katanya pada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di Seremban, hari ini.
Keempat-empat jawatan Exco itu kosong selepas 12 ADUN BN menarik sokongan terhadap Aminuddin dan menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap beliau.
Walaupun kepimpinan Barisan Nasional pusat dan Pakatan Harapan (PH) berjaya menyelesaikan tersebut dan kesemua 12 ADUN berkenaan akan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan namun mereka tidak mahu kembali menjadi Exco.
Empat jawatan Exco sebelum ini yang digalas oleh ADUN daripada UMNO BN ialah Exco Kanan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa dan Perladangan dan Komoditi serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Modal Insan, Datuk Ismail Lasim; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan, Datuk Mustapha Nagoor dan Pengerusi Jawatankuasa Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Datuk Mohd Faizal Ramli.


