Tiada unsur rasuah isu tukar status tanah kolam takungan banjir – SPRM

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berhubung isu penukaran status tanah kolam takungan banjir di ibu negara selepas siasatan dijalankan agensi itu pada 2022.

Keputusan tiada unsur rasuah dikenal pasti dan NFA itu diterima SPRM selepas siasatan berkenaan dirujuk kepada DPP pada 2023.

DATUK Mohd Hafaz Nazar

Siasatan yang dijalankan oleh SPRM membabitkan penukaran status beberapa kawasan berhampiran kolam takungan air di ibu negara termasuk di Taman Wahyu bagi tujuan pembangunan.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar memaklumkan, pihaknya sebelum ini sudah menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan proses kelulusan beberapa projek pembangunan yang dikatakan menjejaskan fungsi kolam takungan air di sekitar Kuala Lumpur.

Menurut beliau, pada tahun 2022, SPRM membuka kertas siasatan susulan aduan berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan beberapa pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur (JPSKL) bagi tempoh antara tahun 2015 hingga 2021.

Katanya, antara dakwaan yang disiasat termasuk penukaran status beberapa kawasan berhampiran kolam takungan air di ibu negara termasuk di Taman Wahyu bagi tujuan pembangunan.

“SPRM juga sudah menjalankan siasatan secara menyeluruh berdasarkan dokumen dan keterangan yang diperoleh sebelum kertas siasatan dilengkapkan pada tahun 2023 dan dirujuk kepada DPP.

“Bagaimanapun, berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan, tiada unsur rasuah dikenal pasti dan kes telah diputuskan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan berkata, kerajaan sedang menunggu hasil siasatan SPRM berhubung isu pengurusan kolam takungan banjir sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Menurut Hannah, laporan itu sudah dibuat sejak beliau menjadi pembangkang iaitu pada 2021 dan sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas.

Sebelum ini, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan mempunyai pengetahuan mengenai pemindahan tanah kolam takungan banjir kepada pemaju di ibu negara ketika memegang jawatan berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Hafaz berkata, SPRM juga sudah memberi peringatan kepada DBKL supaya memperketat pemantauan dan kawal selia terhadap projek pembangunan berhampiran kolam takungan air bagi memastikan semua syarat dan spesifikasi yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya pihak kontraktor.

“Peringatan itu diberikan pada tahun 2023 setelah didapati tiada elemen rasuah yang dikenal pasti dalam siasatan ke atas kelulusan projek pembangunan berhampiran kolam takungan air itu.

“Sekiranya berlaku sebarang pelanggaran syarat atau pembangunan yang menjejaskan fungsi kolam takungan air, maka perkara itu berada di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan serta memberi penjelasan memandangkan aspek pemantauan, kawal selia dan kelulusan pembangunan adalah di bawah bidang kuasa DBKL,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img