Permohonan lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan masuk IPTA dibuka mulai 30 Jun

PERMOHONAN kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) bagi pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan mula dibuka 30 Jun ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata, permohonan itu bagaimanapun akan dibuka di peringkat universiti masing-masing terlebih dahulu sebelum menerusi sistem UPUOnline bermula tahun depan.

“Sebenarnya (permohonan) UPUOnline (sebelum ini) semua sudah pun berjalan, persediaannya sudah pun berlaku sejak akhir tahun yang lalu.

“Jadi bagi mengikut ketetapan seperti yang ditetapkan oleh Jemaah Menteri, maka kita semua di peringkat universiti sudah beberapa kali mengadakan libat urus dan insya-Allah kita akan membuka permohonan secara terus kepada universiti yang menawarkan program-program terbabit bermula 30 Jun ini,” katanya dalam sidang media khas berhubung laluan kemasukan pelajar lepasan di Luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA di Kementerian Pendidikan Tinggi di Putrajaya hari ini.

KPT dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta SMPC/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.

Bagi calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).

Bagi calon lepasan SMPC/UEC pula, antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.

Azlinda dalam pada itu menegaskan, bagi syarat wajib, pelajar terbabit perlu mendapatkan sekurang-kurangnya kepujian dalam Bahasa Melayu dan lulus Sejarah.

“Semua permohonan kemasukan ke IPTA akan diproses berdasarkan meritokrasi, syarat kelayakan akademik serta tertakluk kepada penilaian dan keputusan Senat Universiti,” katanya.

Menurut beliau, setiap calon yang memohon akan melalui proses temu duga yang dibuat di peringkat universiti masing-masing seperti dilalui calon arus perdana lain bagi program ditetapkan.

“Sebenarnya program-program ini adalah program kompetitif kerana ramai juga calon-calon yang memohon. Jadi di situlah kita akan lihat dari segi kesesuaiannya dan bagaimana kita boleh memberi ruang dan peluang laluan kepada pelajar-pelajar yang mengambil kursus ditawarkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Azlinda berkata, ketika ini terdapat tiga universiti yang menawarkan empat program terbabit kepada lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan.

Antaranya, Universiti Putra Malaysia (UPM); Universiti Malaya (UM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bagi aliran tahfiz, antaranya adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan beberapa lagi.

“Berdasarkan kepada unjuran yang ditetapkan oleh setiap universiti mengikut program. Contohnya kalau unjuran dia 50 pelajar, maka nanti prosesnya akan dipilih mengikut kepada meritokrasi juga.

“Sekiranya pelajar itu mencapai standard yang patut dan lulus temu duga contohnya sebab ada kriteria dan syarat-syaratnya, maka dia perlu bersaing dengan pelajar-pelajar yang lain supaya adil kepada semua,” katanya.

Ditanya sama ada program lain akan turut diperluaskan selepas ini, Azlinda berkata ketika ini pihaknya memberi fokus kepada program yang sudah ditetapkan.

Ditanya adakah calon lepasan berkenaan turut menerima manfaat subsidi kerajaan, beliau berkata, secara amnya mereka turut mendapat manfaat berkenaan.

“Jika mereka masuk kepada program ini, ia dianggap sebagai saluran perdana maksudnya program mereka ini disubsidi oleh kerajaan juga,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img