Kaedah di negeri boleh berlainan, tapi di Pusat kita tetap dengan Kerajaan Perpaduan – Ahmad Maslan

KEPUTUSAN Barisan Nasional (BN) untuk bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang menggambarkan keunikan demokrasi di Malaysia.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, di negeri kaedah pertandingannya boleh berlainan, namun di peringkat Kerajaan Pusat, BN masih tetap dengan Kerajaan Perpaduan.

Sehubungan itu katanya, beliau menyokong keputusan pucuk pimpinan UMNO BN untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN Johor akan datang.

Ini kerana menurut Timbalan Menteri Kerja Raya itu, Johor adalah kubu kuat UMNO dan BN untuk sekian lama.

Katanya, ia adalah hakikat yang diakui dengan kemenangan 40 daripada 56 kerusi DUN pada PRN Mac 2022. Sejarah tercatat bahawa UMNO lahir di Istana Johor pada 11 Mei 1946, iaitu 80 tahun yang lalu.

“Semasa saya membuat penaziran dan turun padang di banyak kawasan di Johor dalam tempoh empat bulan dan hadir pelbagai program parti UMNO, itulah juga kehendak pimpinan akar umbi di bahagian-bahagian.

“Saya berpesan secara serius agar semua jentera lima peringkat parti UMNO (Bahagian/cawangan, Wanita, Pemuda, Puteri dan Veteran) dan jentera BN agar teruslah mendampingi rakyat pelbagai kaum; Melayu, Cina, India, Orang Asli & kaum minoriti lain. Kita adalah Bangsa Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kepelbagaian itu katanya, suatu kekuatan yang diraikan, yang bersama dibangunkan dan menjadi teras perjuangan BN selama ini.

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini dilaporkan berkata, BN negeri akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.

Keputusan itu katanya, dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi UMNO dan BN negeri.

Menurut beliau, keputusan berkenaan turut dicapai selepas perbincangan bersama pucuk pimpinan parti.

“Bagi UMNO dan BN Johor, pendirian untuk bertanding di 56 kerusi DUN adalah tawaran yang jelas kepada rakyat bahawa kami bersedia untuk terus membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan berkhidmat sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

DUN Johor dijangka terbubar secara automatik pada 21 April tahun depan.

Mengikut peruntukan undang-undang, SPR mempunyai tempoh hingga 60 hari selepas pembubaran untuk mengadakan pilihan raya.

Ini bermakna PRN Johor ke-16 perlu diadakan selewat-lewatnya sekitar Jun 2027, sekiranya pembubaran berlaku secara automatik.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img