DIANGGARKAN hampir 3,000 rakyat menyertai Himpunan Daulat Tuanku yang dianjurkan Pemuda Pas Selangor hari ini sebagai tanda taat setia kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Seawal jam 3.30 petang, para peserta mula berkumpul di pekarangan Masjid Negeri Selangor sebelum berarak ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di Shah Alam.

Himpunan itu yang merupakan suara politik terhadap isu kedaulatan Raja dan negeri disertai wakil parti politik seperti Pas, UMNO, Bersatu, Pejuang dan Putra selain beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Bertemakan baju kuning, perhimpunan ini membantah pendirian pemimpin DAP negeri itu yang mencadangkan penggunaan sistem penternakan babi moden serta tidak membeza-bezakan penternakan haiwan itu dengan binatang lain.

Istana bagaimanapun mahu Selangor beralih daripada penternakan kepada bekalan import sepenuhnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Selangor, Shukry Omar dalam ucapannya pada himpunan itu menggesa rakyat negeri itu menolak DAP pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang sambil mendakwa parti berkenaan menjadi punca perpecahan kaum di Selangor.
“Saya menyeru seluruh rakyat di Selangor, bangkit dan tolak DAP. Kita gesa ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Seri Kembangan (Wong Siew Ki) ini mesti meminta maaf.
“Kita juga menggesa Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor (Lau Weng San) supaya tidak berdolak-dalik. Bawa ADUN Seri Kembangan ke Jawatankuasa, hak dan kebebasan. Jangan jadi speaker bacul,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, kehadiran pemimpin pelbagai peringkat daripada parti itu mencerminkan komitmen UMNO dalam mempertahankan institusi Diraja.
Dalam ucapannya, Mohd Imran menegaskan UMNO akan terus mempertahankan institusi monarki, hak Melayu dan Islam.
“Apabila melibatkan isu yang melibatkan institusi Diraja, melibatkan orang Melayu, melibatkan Islam, UMNO akan berada di sana untuk mempertahankan (mereka),” katanya.
Mohd Imran turut memberi amaran terhadap sebarang cubaan mencabar titah Diraja dan berkata UMNO bersama peguam daripada Pas serta NGO akan mempertahankan institusi beraja jika diperlukan.
Turut hadir ialah aktivis undang-undang Muhammad Rafique Rashid Ali; Presiden Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Shuhaib Ar Rumy Selamat; Pengerusi Pejuang Selangor, Datuk Markiman Kobiran; Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa; wakil Perkasa, Burhan Ahmad, Bibi Sunita Khan dari NGO Negarati dan Nazilah Idris dari Gabungan NGO-NGO Selangor.
Terdahulu, wakil Pemuda Umno, Pas dan Ummah yang mengumpulkan lebih 300 NGO menyerahkan tiga memorandum berasingan di Istana Kayangan, Shah Alam sebagai tanda taat setia kepada Sultan Selangor.
Memorandum itu diserahkan pada jam 4.15 petang di pintu gerbang Istana Kayangan dan turut dihadiri Ketua Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
“Dalam memorandum ini tidak ada sebarang kod atau perkara yang disembunyikan. Kami menyebut tentang bagaimana rakyat terus menunjukkan rasa hormat dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Sultan, serta kepada sekalian yang hadir dalam Himpunan Daulat Tuanku pada hari ini.
“Seluruh rakyat menghargai kebijaksanaan, ketegasan dan keprihatinan Tuanku, terutamanya dalam menjaga keharmonian negeri, mempertahankan kesucian agama Islam, menjunjung kedaulatan undang-undang, serta memastikan kestabilan dan kemakmuran negeri Selangor sentiasa terpelihara,” kata Shukry yang juga penganjur himpunan berkenaan.
Ketika ditemui pemberita selepas himpunan, Shukry berkata, penglibatan golongan muda menjadi asas utama penganjuran program tersebut.
“Masa depan negara ini terletak di tangan anak muda. Sekiranya anak muda menyuburkan rasa cinta kepada institusi diraja dan mempertahankan institusi raja berperlembagaan serta Islam, kami yakin masa depan yang lebih baik akan tercapai. Kami meletakkan kepercayaan penuh kepada Tuanku Sultan dalam setiap tindakan baginda kerana baginda dipandu kebijaksanaan.
“Kami mendapati sudah ada bibit-bibit yang disebarkan secara halus untuk membenci institusi Diraja, sedangkan institusi beraja adalah payung bagi semua kaum dan agama, bukan hanya untuk orang Melayu, tetapi untuk seluruh bangsa.
“Oleh itu, kami akan bergerak dan pada masa yang sama memerhatikan tindakan-tindakan biadab yang berlaku tanpa berdiam diri. Kami akan bertindak menurut undang-undang serta melaksanakan advokasi secara berterusan,” katanya.
Himpunan itu bersurai sekitar jam 6.30 petang tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Lebih 50 anggota polis beruniform dilihat berada di sekitar Bangunan SSAAS bagi mengawal keadaan.


