LELAKI yang dipercayai membakar jari, memijak perut dan mencekik anak tirinya berusia lima tahun disambung reman empat hari lagi bagi membantu siasatan kes penderaan kanak-kanak itu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pemotong kayu di sebuah kilang itu dikeluarkan Majistret Nur Amira Fatihah Osman sehingga Khamis ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Jumaidy Bah Chong Weh berkata, sambungan reman diperoleh bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurutnya, sebelum ini polis sudah memperoleh reman selama seminggu terhadap suspek.
“Sambungan reman hari ini dipohon untuk melengkapkan siasatan selepas tempoh reman terhadap suspek tamat pada hari ini.
“Setakat ini, seramai tiga saksi dewasa dan seorang saksi kanak-kanak sudah dipanggil untuk diambil keterangan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan suspek ditahan selepas polis menerima laporan daripada ibu kandung mangsa pada 10 Mei lalu.
Kejadian penderaan itu disedari wanita berusia 30 tahun berkenaan pada 7 April lalu selepas mendapati terdapat kesan melecur pada jari anaknya.
Mangsa dipercayai memberitahu ibunya bahawa suspek menggunakan pemetik api untuk membakar jari manis tangan kiri mangsa kerana dikatakan nakal.
Kanak-kanak itu turut mendakwa pernah dipijak di bahagian perut serta dicekik suspek, namun kejadian terbabit tidak disaksikan individu lain.
Siasatan awal mendapati suspek yang mempunyai dua anak berkahwin dengan ibu mangsa sejak tiga tahun lalu.


