INSTITUT Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan varieti mangga Chokanan berjenama `Sintok Gold’ sebagai alternatif premium kepada Harumanis yang lebih mampu milik, mudah ditanam dan berpotensi besar untuk diperluaskan ke pasaran eksport.
Pelancaran produk mangga tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Dr Azman Ismail sempena lawatan kerja beliau bersama Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani ke MARDI Sintok semalam.

Menurut beliau, pengenalan Sintok Gold dilihat mampu menambah pilihan variety mangga tempatan berkualiti tinggi kepada pengguna, khususnya bagi mereka yang mahukan rasa lebih seimbang berbanding Harumanis.
“Ramai orang mencari Harumanis, tetapi ada pengguna yang merasakan Harumanis terlalu manis dan mempunyai kandungan fruktos yang tinggi. Jadi, Sintok Gold hadir sebagai pilihan alternatif dengan rasa yang lebih pelbagai,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan MARDI.
Dr Azman berkata, antara keistimewaan utama Sintok Gold adalah kandungan serat yang lebih tinggi selain mempunyai julat rasa yang unik daripada sedikit masam sehingga agak manis mengikut tahap kematangan buah.
“Harumanis kebanyakannya manis sahaja, tetapi Sintok Gold mempunyai variasi rasa tersendiri. Ia juga boleh dimakan ketika muda ataupun apabila sudah ranum,” katanya.
Selain menawarkan rasa yang lebih versatil, Sintok Gold turut dilihat mampu menjadi pilihan pengguna kerana harganya lebih mampu milik berbanding Harumanis.
Menurut beliau, faktor harga itu menjadikan mangga berkenaan sesuai untuk majlis keramaian atau kegunaan berskala besar kerana pengguna boleh mendapatkan kuantiti lebih banyak pada kos yang lebih rendah.
Dalam pada itu, Dr Azman berkata, varieti Chokanan juga mempunyai potensi besar untuk membantu meningkatkan pendapatan usahawan dan pekebun mangga khususnya di wilayah utara.
Katanya, varieti tersebut lebih mudah ditanam, mengeluarkan hasil tinggi serta kurang sensitif terhadap perubahan cuaca berbanding Harumanis.
“Harumanis memerlukan penjagaan yang lebih teliti termasuk kawalan suhu dan kelembapan. Jika kelembapan terlalu tinggi, risiko jangkitan kulat akan meningkat dan boleh merosakkan buah selepas dituai.
“Namun Sintok Gold lebih tahan terhadap faktor cuaca, kelembapan dan hujan, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan kulat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa MARDI kini mempunyai kawasan penanaman Sintok Gold seluas kira-kira 20 hektar di Sintok dan bercadang memperluaskan teknologi penanaman varieti tersebut ke kawasan lain.
“Insya-Allah, ia memang dalam perancangan kerana ini merupakan mangga berkualiti tinggi, mempunyai peminat tersendiri, mudah ditanam dan harganya terjangkau.
“Teknologi penanaman ini juga lebih mudah untuk dikembangkan dan dikongsikan kepada lebih ramai pengusaha,” katanya.
Pengenalan jenama Sintok Gold dilihat selari dengan usaha MARDI memperkukuh industri mangga tempatan melalui penghasilan varieti berkualiti tinggi, bernilai komersial serta mampu memenuhi permintaan pasaran domestik dan antarabangsa.
Mangga Sintok Gold dijual pada harga bermula sekitar RM6 sekilogram bergantung kepada berat dan keadaan fizikal buah termasuk kualiti serta kecantikan kulit mangga. Buah mangga tersebut boleh didapati sepanjang musim mangga bermula Mei hingga Jun setiap tahun.
Orang ramai yang berminat mendapatkan mangga Sintok Gold boleh mengikuti pengumuman jualan yang akan dibuat menerusi laman Facebook rasmi MARDI Sintok.


