DUA buruh didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini, atas pertuduhan membunuh pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) di Kampung Binjai, Kota Bharu pada 13 April lalu.
Kedua-dua tertuduh, Muhammad Hakim Zikrullah Mohd Zamran, 25, dan Mohamed Eerman Daniel Mohamed Afrizal, 27, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa membunuh Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, di Kampung Binjai, Banggu di sini jam 11 malam pada 13 April lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara hingga 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 6 Julai sebagai sebutan semula kes.
Sementara itu, Muhammad Hakim Zikrullah, dan Mohamed Eerman Daniel bersama dua rakan mereka iaitu Mohamad Areef Mohd Zuki, 25, dan Mohamad Aiman Shah Mohd Azizi, 26, turut didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengetahui pembunuhan melibatkan mangsa yang sama selain membuang mangsa di tepi jalan pada 14 April lalu.
Mereka mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, semua tertuduh yang dituduh secara bersama didakwa mengetahui kesalahan bunuh melibatkan mangsa, Muhammad Zakir Fikri dan membuang mayat mangsa di tepi jalan dengan niat hendak mengelak Muhammad Hakim Zikrullah dan Mohamed Eerman Daniel daripada dikenakan hukuman undang-undang.
Kesalahan itu dilakukan jam 3.30 pagi di tepi jalan Kampung Chap Bekelam, Bachok pada 14 April lalu.
Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan juga denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Kamilah Che Ibrahim, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 25 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.


