KERAJAAN memperkenalkan rebat solar di bawah program Sustainable Rebate and Incentive Assistance (SuRIA) Home bagi membantu rakyat dalam menghadapi krisis bekalan global akibat konflik di Asia Barat.
Menerusi program itu, pengguna domestik yang memasang sistem Program Peralihan Tenaga Solar yang Diperkukuhkan (Solar ATAP) dan memenuhi kriteria kelayakan boleh menerima rebat sebanyak RM600 bagi setiap 1kWac pemasangan solar sehingga RM3,000 bersamaan 5kWac.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, SuRIA Home dilancarkan kerajaan bagi memberi insentif kepada mereka yang memasang solar di bawah Solar ATAP, iaitu program yang sudah dilancarkan Januari lalu.
“Tapi apabila ada suara-suara mengatakan tak adakah insentif yang diberikan, jadi akhirnya kita memutuskan untuk memberi insentif dengan nilai (peruntukan) RM120 juta bermula 1 Jun hingga Disember tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan inisiatif Rebat SuRIA Home pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Putrajaya hari ini.
Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli.
Menurut Fadillah, program berkenaan dijangka memberi manfaat kepada antara 45,000 hingga 50,000 rumah dengan kapasiti solar terkumpul sekitar 250MW, sekali gus memperluas penggunaan solar bumbung kediaman di seluruh negara.
“Program SuRIA Home akan dibuka kepada pemasangan solar yang di bawah program Solar ATAP yang mula beroperasi bagi tempoh sehingga 31 Disember 2026 atau sehingga kuota 250MW dipenuhi, yang mana terdahulu.
“Pelaksanaan rebat pula akan bermula pada 1 Jun 2026 dan tertakluk kepada prinsip first come, first served,” katanya.


