KERAJAAN sedang berusaha memastikan keterjaminan bekalan tenaga negara dapat dipanjangkan sehingga Disember ini susulan krisis bekalan global yang menjejaskan rantaian bekalan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, setakat ini bekalan tenaga negara dijangka hanya mencukupi sehingga Julai, namun usaha sedang dipergiat termasuk mendapatkan sumber bekalan tambahan dari luar negara.
“Kalau setakat ini insya-Allah keterjaminan bekalan tenaga kita sehingga bulan Julai.
“Petronas sedang bertungkus lumus untuk mendapat sumber bekalan malahan terpaksa pergi ke Afrika sekali pun. Kalau ianya dapat dimuktamadkan, insya-Allah kita akan dapat keterjaminan bekalan tenaga kita sehingga Disember,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Putrajaya hari ini.
Menurut Fadillah, krisis tenaga global ketika ini memberi kesan kepada keseluruhan rantaian ekonomi, khususnya sektor logistik yang menyaksikan peningkatan kos sebelum akhirnya memberi impak kepada harga barangan serta keterjaminan bekalan.
Justeru katanya, penjimatan penggunaan tenaga dalam negara adalah penting bagi membantu memanjangkan tempoh bekalan tenaga sekali gus mengurangkan kesan krisis bekalan global.
“Bila mengurangkan penggunaan tenaga kita dapat memanjangkan tempoh bekalan tenaga kita dan akhirnya kita akan dapat keterjaminan dan tidak akan terkesan dengan krisis yang berlaku.
“Apa pun yang pasti kos akan meningkat tapi dalam peningkatan itu kerajaan akan sentiasa mengambil tindakan langkah yang pragmatik untuk memastikan kesannya kepada rakyat tidaklah dirasai sangat,” katanya.
Untuk itu Fadillah berkata, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha memastikan kelangsungan ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.


