Dua kilang, asrama pekerja musnah dijilat api, tujuh selamat

TUJUH pekerja termasuk lima warga asing berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran yang memusnahkan dua unit kilang lot berkembar serta sebuah asrama pekerja di Kawasan Industri Ringan Juru, Bukit Mertajam, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.25 malam itu, kebakaran membabitkan premis pembuatan minuman kesihatan dan kabinet dapur selain asrama penginapan pekerja yang berada dalam kawasan gudang kitar semula barangan plastik.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, semua pekerja berjaya keluar dari premis sebelum api merebak.

“Mereka membabitkan dua lelaki warga tempatan, seorang lelaki Myanmar, seorang lelaki Vietnam dan tiga lelaki Nepal.

“Bomba kemudian menjalankan kerja pemadaman bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak,” katanya kepada pemberita hari ini, lapor TV3.

Menurutnya, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.22 malam sebelum anggota melakukan kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Katanya, operasi membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan bantuan BBP Perda, BBP Sungai Bakap serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.

“JBPM turut membuka Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) bagi membantu pemilik premis dan mendapatkan maklumat berkaitan kejadian,” katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO).

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.23 tengah malam,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img