
SELEPAS empat tahun Kerajaan MADANI mentadbir negara, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menjadi antara inisiatif yang paling dekat dengan kehidupan rakyat. Manfaat dua program ini sampai terus ke dapur mereka.
Ketika kos sara hidup terus membebani isi rumah, STR dan SARA menjadi penampan penting, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah. Bantuan ini meringankan beban perbelanjaan harian, terutama bagi keluarga yang perlu mengutamakan keperluan asas.
Pencapaian program ini bukan sekadar diukur melalui peningkatan peruntukan, tetapi turut dilihat pada kadar penggunaan bantuan oleh penerima. Pada 2026, kadar penggunaan SARA bulanan dilaporkan mencapai 99.7 peratus.
Melalui SARA, penerima boleh membeli barangan asas seperti beras, telur, minyak masak dan keperluan rumah menggunakan MyKad. STR pula membantu keluarga menguruskan komitmen kewangan termasuk bil, pengangkutan dan perbelanjaan anak-anak. Legalah perbelanjaan harian kumpulan masyarakat yang sememangnya memerlukan pembelaan ini.
Gabungan kedua-dua bantuan ini memperlihatkan pendekatan kerajaan yang lebih bersasar dalam menghadapi tekanan ekonomi. Manfaatnya bukan sekadar angka dalam belanjawan, tetapi hadir ketika rakyat menguruskan keperluan keluarga – dasar yang menyentuh kehidupan.
Namun, kadar penggunaan yang tinggi tidak bermakna masalah kos sara hidup telah selesai. Bantuan perlu dinilai berdasarkan kesannya terhadap pendapatan boleh guna, kemiskinan dan keupayaan keluarga membina kehidupan lebih baik. Asas perkiraannya, bantuan sahaja belum mencukupi.
Selepas hampir empat tahun, STR dan SARA boleh dianggap antara pencapaian sosial Kerajaan MADANI yang paling nyata dari sudut manfaat langsung kepada rakyat. Namun, pencapaian ini perlu terus diperkukuh agar lebih ramai keluarga menikmati kehidupan yang stabil.
Cabaran seterusnya ialah memastikan bantuan ini berjalan seiring dengan peningkatan gaji, peluang pekerjaan berkualiti dan usaha mengawal harga barangan. Rakyat perlu semakin berdaya.
Kerana kejayaan sebenar bukan sekadar memastikan rakyat menerima bantuan, tetapi memastikan mereka semakin mampu berdiri sendiri, membina kehidupan yang stabil dan menikmati masa depan yang lebih sejahtera. Inilah yang diharapkan. Bantuan hari ini, kehidupan lebih baik esok.





