Selagi puak pemisah tidak bersatu, konflik Selatan sukar berakhir

MUNGKIN sudah ditakdirkan di mana-manapun selagi bernama Melayu dan Islam, mereka akan berpecah sesama sendiri atas pelbagai sebab yang akhirnya merugikan golongan itu.

Keadaan itu menyukarkan mereka untuk mencapai apa yang diinginkan apatah lagi jika orang Melayu berada di sebuah negara mereka adalah kaum minoriti. Tetapi di Thailand berbeza, pemerintah negara itu melayan orang Melayu khususnya di selatan sebaik mungkin.

Mereka diberikan hak sama sepertimana rakyat Thailand lain. Tetapi malangnya orang Melayu di wilayah itu bukan sahaja dipecahkan malah kehidupan mereka terganggu akibat perjuangan sia-sia yang kononnya mahu memerdekakan Pattani oleh puak pemisah.

Akhirnya tertubuhlah beberapa kelompok puak pemisah seperti Barisan Revolusi Nasional (BRN), PULO, Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP) dan Gerakan Mujahideen Islam Pattani (GMIP).

Bagaimanapun mereka tidak bersatu atau bergabung. Masing-masing membawa hala tuju perjuangan sendiri sehingga ia akhirnya menyebabkan penduduk Islam yang tidak berdosa menjadi mangsa.

Paling malang BRN yang menjadi satu-satu wakil puak pemisah berunding dengan Pemerintah Thailand turut berpecah. Cabang Politik mahu berunding manakala Cabang Militer pula mahu mengangkat senjata sehingga akhir hayat.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila wujud pula kelompok yang menyebarkan propaganda bertujuan mengajak penduduk Islam menentang pemerintah Thailand kononnya orang Melayu sedang ditindas.

Terbaru, PULO menolak rundingan damai baharu antara kerajaan Thailand dan BRN sekiranya proses itu tidak melibatkan kumpulan pemisah lain.

Presidennya, Kasturi Mahkota berkata, selain PULO, BIPP dan GMIP.  perlu terlibat sama kerana keganasan di Selatan Thailand bukan hanya melibatkan satu pihak sahaja.

“Saya bersetuju dengan pendapat bekas pemimpin PULO Samae Tananam yang menyatakan bahawa keganasan di Selatan Thai bukan disebabkan oleh mana-mana kumpulan tunggal atau semata-mata oleh pihak yang berbeza pendapat.

“Rundingan damai telah berlangsung selama bertahun-tahun tetapi ia tidak berjaya. Ia bukan mudah kerana banyak negara yang alami konflik berjaya menyelesaikannya dan ada juga yang gagal,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul melantik Pengarah Agensi Perisikan Negara, Thanat Suwannanon sebagai Ketua Panel Dialog Damai Kerajaan Thailand (PEDP/RTG) menggantikan Jeneral Sommak Rungsita.

Satu pihak mahu merdeka, satu pihak mahu berunding, satu pihak menolak rundingan damai jika mereka tidak dilibatkan. Kalau begini keadaannya sampai kiamatpun konflik Selatan Thailand tidak mampu diselesaikan.

Tidak kiralah apapun pendirian dan tidak kiralah manapun kelompok yang penting mereka perlu faham BAHAWA  Kerajaan Thailand kekal berpegang kepada tiga prinsip utama iaitu menghentikan keganasan, membuka ruang konsultasi awam, dan menyelesaikan konflik politik dalam kerangka Perlembagaan Thailand.

Oleh itu mana-mana kelompok tidak perlu bermimpi atau mahu mengejar impian songsang mereka kerana apapun berlaku pemerintah Thailand tidak akan berganjak daripada tiga prinsip utama itu.

Justeru adalah sia-sia jika puak pemisah mahu pastikan juga pemerintah Thailand tunduk dengan tuntutan mereka. Sepatutnya mereka berusaha berunding dengan menjadikan tiga prinsip itu sebagai panduan.

Mereka tidak boleh berkeras dengan tuntutan sendiri sehingga menggagalkan rundingan damai. Namun sebelum itu paling penting sebelum berunding kesemua kelompok perlu duduk semeja berbincang untuk bersatu bagi memastikan mereka sepakat dalam apa juga tuntutan yang mahu dibuat kepada pemerintah Thailand.

Jika  berpecah belah, tidak sepakat bagaimana pemerintah Thailand mahu berunding apatah lagi memenuhi tuntutan mereka. Formula untuk mencipta damai dan menamatkan konflik di Selatan Thailand memang ada dan ia terdapat dalam tiga prinsip utama pemerintah Thailand tersebut.

Pertama menghentikan keganasan – inilah yang patut diutamakan oleh puak-puak pemisah termasuk BRN. Tiada gunanya hari ini berunding sedangkan esok keganasan terus menghiasi bumi Selatan Thailand.

Selagi keganasan terus berlaku, bagaimana rundingan mahu dijalankan. Maknanya mereka perlu mencapai kesepakatan sesama sendiri bahawa tidak ada pihak yang akan melakukan perbuatan berkenaan.

Kedua, membuka konsultasi awam – prinsip ini membuktikan ketelusan pemerintah Thailand untuk memastikan apa juga yang mahu dilaksakana ia akan mengadakan perbincangan dan rundingan terlebih serta mendengar pandangan semua pihak.

Sepatutnya, inilah jalan dipilih oleh puak-puak pemisah, bukannya masing-masing berkeras dengan tuntutan sendiri tanpa mempedulikan sama ada pemerintah Thailand boleh melaksanakannya atau tidak.

Puak pemisah perlu berpakat apa sebenarnya mereka mahu pemerintah Thailand lakukan demi kebajikan penduduk Islam di selatan.

Prinsip ketiga pula pemerintah Thailand bersedia menyelesaikan konflik politik dalam kerangka Perlembagaan negara itu. Tetapi kerajaan Thailand menganggapnya sebagai  tanggungjawab untuk mencari penyelesaian konflik sehingga berakhir, bergantung kepada kumpulan pemisah atau kumpulan pejuang di kawasan itu untuk menghentikan konflik.

Berdasarkan hujah-hujah tersebut bagi penulis, sama ada konflik di Selatan Thailand boleh diselesaikan atau tidak, ia bukan bergantung kepada pemerintah negara itu sebaliknya kepada puak-puak pemisah atau kumpulan pejuang di wilayah berkenaan.

Selagi mereka tidak bersatu, selagi mereka tidak sepakat, selagi mereka tidak sefahaman…lupa sahaja mahu mengemukakan apa-apa tuntutan kepada Pemerintah Thailand.

Oleh itu mereka perlu menyelesaikan dulu masalah sesama mereka. Jika tidak, buang masa dan sia-sia sahaja sebarang rundingan dijalankan. Penulis percaya Pemerintah Thailand ikhlas dan telus mahu menamatkan konflik di Selatan Thailand.

Atas sebab itulah mereka bersedia berunding dan melayan kerenah BRN serta sentiasa bersabar dengan puak-puak yang menuduh Pemerintah Thailand penjajah dan sedang menindas penduduk Islam.

Realitinya, dunia tahu bahawa penduduk Islam hidup aman damai, dilayan dengan baik dan bebas melaksanakan kehidupan sebagai seorang muslim. Jadi daripada menuding jari kepada Pemerintah Thailand dengan pelbagai tohmahan, adalah lebih baik puak-puak pemisah buat dulu proses rundingan damai sesama mereka.

Pada masa ini, kerajaan Thailand di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Anuthin Charnvirakul telah melantik Ketua Tim Rundingan yang baharu yang dianggap bahawa, beliau telah memberikan isyarat untuk memulakan semula Proses Rundingan Keamanan Wilayah Sempadan Selatan Thai secara rasmi.

 Oleh itu, semua kumpulan perlu menggunakan peluang ini sebagai jalan keluar untuk menghentikan keganasan dan mewujudkan keamanan secara lestari di Wilayah Sempadan Selatan Thai.”

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img