
KES kehilangan ketika melakukan aktiviti mendaki bukit dan gunung kembali mencetuskan kebimbangan masyarakat apabila dua kes berlaku hampir serentak dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.
Kejadian pertama membabitkan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun di Bukit Changkat Asa, Tanjung Malim manakala kes kedua kehilangan pendaki berpengalaman, Jaslinda Saludin sewaktu menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih di Tapah menimbulkan persoalan besar mengenai tahap keselamatan aktiviti pendakian di negara ini.
Dalam kes pertama, seorang remaja perempuan, Nur Izzati Humaira Azizul dilaporkan hilang dipercayai tersesat ketika menuruni Bukit Changkat Asa selepas terpisah daripada kumpulannya. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan segera membabitkan pelbagai agensi keselamatan dan sukarelawan pendaki. Cuaca buruk, laluan licin serta keadaan hutan yang tebal dipercayai menjadi antara cabaran utama operasi tersebut.
Lebih mengundang perhatian apabila ahli keluarga mangsa mendakwa telefon bimbit remaja itu sempat dijawab sebelum talian terputus secara tiba-tiba. Perkara itu mencetuskan pelbagai spekulasi dalam media sosial termasuk dakwaan berkaitan unsur misteri dan gangguan ghaib, sesuatu yang sering dikaitkan apabila berlaku kehilangan di kawasan hutan.
Sementara itu, kes kedua melibatkan Jaslinda, 49, yang dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman juga pada Sabtu lalu. Apa yang membezakan kes ini adalah Jaslinda bukan pendaki baharu. Malah, beliau dikatakan mempunyai lebih 10 tahun pengalaman mendaki gunung dan bukit serta pernah menyertai pelbagai ekspedisi lasak sebelum ini.
Hakikat bahawa seorang pendaki berpengalaman juga boleh hilang membuktikan bahawa faktor pengalaman semata-mata bukan jaminan keselamatan mutlak ketika berada di kawasan hutan dan gunung. Trek seperti Trans Spencer Chapman terkenal sebagai laluan mencabar dengan struktur muka bumi sukar, cuaca tidak menentu dan risiko kecederaan tinggi. Dalam keadaan tertentu, walaupun pendaki berpengalaman boleh berdepan situasi di luar jangka.
Malah, pengalaman kadangkala boleh mewujudkan rasa terlalu yakin sehingga seseorang mungkin memandang ringan aspek tertentu seperti keadaan fizikal semasa, perubahan cuaca atau risiko kecederaan kecil. Dalam dunia pendakian, kesilapan kecil boleh membawa implikasi besar terutama apabila berada jauh di pedalaman hutan.
Fenomena kehilangan pendaki juga dilihat semakin meningkat seiring populariti aktiviti hiking dalam kalangan masyarakat. Media sosial memainkan peranan besar apabila ramai menjadikan pendakian sebagai trend gaya hidup dan aktiviti hujung minggu. Akibatnya, semakin ramai individu menyertai aktiviti mendaki tanpa persediaan mencukupi atau memahami risiko sebenar di dalam hutan.
Selain faktor manusia, keadaan alam semula jadi di Malaysia sendiri mempunyai cabaran tersendiri. Hutan tropika negara ini mempunyai laluan yang mudah mengelirukan, cuaca boleh berubah secara mendadak dan terdapat kawasan yang langsung tidak mempunyai liputan komunikasi. Dalam situasi panik atau kecederaan, seseorang pendaki boleh hilang arah dalam tempoh singkat.
Faktor keletihan fizikal dan tekanan mental juga sering menjadi punca pendaki tersasar daripada laluan asal. Pendaki yang cedera atau terlalu letih mudah hilang fokus dan membuat keputusan tidak tepat seperti mengambil jalan pintas atau bergerak sendirian untuk mencari bantuan.
Bagi mengelakkan kejadian seperti ini, setiap pendaki perlu membuat persediaan rapi sebelum memulakan pendakian. Antaranya termasuk menyemak tahap kesukaran trek, mendapatkan maklumat cuaca terkini serta memastikan tahap kesihatan dan kecergasan berada dalam keadaan baik.
Peralatan keselamatan asas seperti lampu suluh, wisel, kit kecemasan, makanan tenaga segera, pakaian hujan dan bateri tambahan telefon juga wajib dibawa. Penggunaan alat navigasi GPS serta aplikasi perkongsian lokasi boleh membantu memudahkan operasi menyelamat sekiranya berlaku kecemasan.
Pendaki juga tidak digalakkan bergerak bersendirian atau meninggalkan kumpulan tanpa pengetahuan ketua ekspedisi. Disiplin berkumpulan amat penting terutama di kawasan hutan tebal dan laluan panjang seperti Trans Spencer Chapman yang boleh mengambil masa berjam-jam untuk dilalui.
Dalam masa sama, pihak berkuasa dan penganjur aktiviti pendakian perlu memperketat prosedur keselamatan termasuk mewajibkan penggunaan malim gunung bertauliah, sistem daftar masuk pendaki dan pemantauan lebih ketat terhadap peserta ekspedisi berisiko tinggi.
Persoalan mengenai unsur mistik pula sering timbul setiap kali berlaku kehilangan di hutan. Walaupun kepercayaan itu sukar dipisahkan daripada budaya masyarakat tempatan, pakar keselamatan berpandangan faktor utama kehilangan biasanya berpunca daripada keadaan muka bumi, cuaca, kecederaan, keletihan dan kesilapan manusia. Spekulasi mistik tidak seharusnya menjejaskan fokus operasi mencari dan menyelamat.
Apa yang berlaku kepada Nur Izzati Humaira di Bukit Changkat Asa dan Jaslinda di Gunung Batu Putih perlu dijadikan peringatan bahawa alam semula jadi sentiasa mempunyai risiko tersendiri. Sama ada pendaki baharu mahupun berpengalaman, aspek keselamatan, disiplin dan persediaan perlu sentiasa menjadi keutamaan sebelum melangkah masuk ke kawasan hutan dan gunung.
Ketika analisis ini ditulis, operasi SAR Nur Izzati Humaira dan Jaslinda masih belum berhasil namun semua rakyat Malaysia mendoakan semoga kedua-dua mereka ditemukan dalam keadaan selamat dan dijauhkan daripada kejadian yang tidak diingini.


