CUBAAN seorang lelaki menghantar 13 ekor lembu dipercayai diseludup kepada pembeli tempatan gagal apabila dia ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Banggol Ara, Pasir Mas, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 5 petang itu, sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut ternakan berkenaan turut disita dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM152,000.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, tangkapan dibuat menerusi Op Taring Wawasan Kelantan oleh pasukan Strike Force Batalion Ketujuh.
Menurutnya, pasukan yang sedang menjalankan rondaan mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori menemui 13 ekor lembu.
“Pemandu kemudian mengemukakan permit yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi pergerakan ternakan dalam Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat percanggahan antara jumlah lembu yang diangkut dengan maklumat yang tertera dalam permit terbabit.
“Permit itu merekodkan pergerakan sebanyak 20 ekor lembu, namun hanya 13 ekor ditemui dalam lori ketika pemeriksaan dijalankan.
“Baki tujuh ekor lembu dipercayai sudah dihantar ke lokasi lain yang tidak dinyatakan dalam dokumen permit diluluskan,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, pemandu lori berusia 26 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, kes dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
“Siasatan awal mendapati suspek diarahkan majikannya untuk menghantar lembu berkenaan ke Kota Bharu bagi memenuhi permintaan orang ramai sempena Hari Raya Aidiladha,” katanya.


