Penolong pegawai perubatan mengaku tidak bersalah 10 pertuduhan guna dokumen palsu

SEORANG penolong pegawai perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas 10 pertuduhan menggunakan dokumen palsu membabitkan pembekalan mesin dan peralatan perubatan bernilai RM214,382, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Azizul Farid Muhammad, 48, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-10, tertuduh yang bertugas sebagai penolong pegawai perubatan didakwa menggunakan dengan niat memperdayakan prinsipalnya iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi dokumen Nota Penerimaan Bekalan dan Perkhidmatan yang mengandungi butiran matan palsu.

Dokumen berkenaan membabitkan pembekalan mesin dan peralatan perubatan untuk Klinik Kesihatan dan Klinik Desa di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah oleh dua syarikat, sedangkan pembekalan itu sebenarnya tidak dilakukan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di PKD Alor Gajah antara 19 Jun hingga 29 September 2023.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai butir matan palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari yang tidak mencadangkan jaminan, namun memohon mahkamah menetapkan jumlah antara RM40,000 hingga RM50,000 bagi semua pertuduhan sekiranya budi bicara diberikan.

Beliau turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di pejabat SPRM dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Mohamad Kamarulzaman Jusoh yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya memberi kerjasama sepanjang siasatan selain penjawat awam dan tidak mempunyai risiko melarikan diri.

Menurutnya, tertuduh juga menanggung seorang anak berusia 13 tahun yang menghidap penyakit jantung.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 14 Julai depan untuk sebutan semula kes.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img