POLIS akan memanggil bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan terhadap ahli perniagaan, Albert Tei.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, setakat ini pihaknya sudah merakam keterangan dua saksi termasuk Albert dan Azam dijangka akan dipanggil dalam tempoh terdekat.
“Tindakan memanggil beliau (Azam) untuk membantu siasatan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya ringkas ketika ditanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hari ini.
Mengulas lanjut, Kumar berkata, Albert dalam sidang media selepas membuat laporan polis pada 13 Mei lalu mendakwa ugutan terhadapnya diterima melalui seorang peguam.
Beliau berkata, polis sudah mengenal pasti peguam terbabit dan merakam percakapannya selepas pihaknya merakam percakapan Albert.
“Setakat ini siasatan masih berjalan dan kita perlu meneliti semua sudut sebelum membuat rumusan berhubung dakwaan itu.
“Siasatan memerlukan masa dan ia perlu dibuat secara telus. Ia perlu meliputi semua sudut sebelum satu rumusan dibuat berhubung siasatan itu,” katanya sambil mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Kumar berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat bagi arahan dan nasihat lanjut.


