POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dijangka akan mengambil keterangan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, minggu depan berhubung dakwaan ugutan terhadap ahli perniagaan, Albert Tei.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pihaknya sudah dihubungi oleh Azam dan akan mendapatkan keterangan lanjut dalam masa terdekat.
“Setakat ini, kami sudah berhubung dan pertemuan akan diatur dalam minggu hadapan,” katanya hari ini.
Media hari ini melaporkan, Azam memaklumkan beliau sudah berhubung dengan polis berhubung dakwaan berkenaan selain turut memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Albert Tei.
Semalam, media melaporkan, PDRM akan memanggil Azam dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan terhadap Albert.
Kumar dilaporkan berkata, pihaknya merakam percakapan dua saksi iaitu Albert dan seorang peguam yang dikatakan menyampaikan maklumat berhubung dakwaan ugutan itu, setakat ini.


