PKR akan terus menjadi teras kepada Kerajaan Perpaduan selain memainkan peranan dalam memastikan agenda reformasi dapat dilaksanakan.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, PKR yang mempunyai keanggotaan melebihi satu juta ahli merekodkan lebih 5,000 anggota baharu dalam tempoh April hingga Mei tahun ini.
Beliau berkata, pertambahan itu berlaku secara organik tanpa sebarang program besar mahupun promosi anjuran parti.
Menurut Fahmi, perkembangan berkenaan memperlihatkan PKR terus mendapat sokongan selain kekal memainkan peranan penting dalam Kerajaan Perpaduan.
“Bagi pandangan kami, memang PKR akan menjadi teras kepada Kerajaan Perpaduan dan parti yang mampu untuk menghidupkan agenda reformasi,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Program Korban Perdana Perpaduan Lembah Pantai di ibu negara hari ini.
Fahmi diminta mengulas dakwaan Parti Bersama Malaysia (MUP) yang dilaporkan menerima kira-kira 18,000 permohonan keahlian dalam tempoh lima hari selepas pelancarannya.
Dilaporkan, separuh atau 46 peratus daripada jumlah itu membabitkan individu yang tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini.
Menurut Fahmi, beliau tidak boleh memberikan komen bagi pihak parti berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, PKR sendiri terus menunjukkan pertambahan keanggotaan.


