GERAKAN untuk menjatuhkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah bermula sejak 2021 iaitu ketika pemimpin berkenaan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Presiden Bersatu, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, kenyataan dikeluarkan oleh dua bekas pemimpin parti itu iaitu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kini sekali gus mengesahkan dakwaan mengenai kewujudan kem yang menyokong bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Menurut beliau, naratif yang dibawa kepada ketua-ketua bahagian Bersatu ketika itu adalah Hamzah mempunyai sokongan lebih luas dalam parti, lebih dekat dengan akar umbi dan lebih layak memimpin parti berbanding Muhyiddin.
“Sebenarnya tulisan kedua-dua mereka mengesahkan apa yang saya tulis mengenai gerakan kumpulan Hamzah untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu secara tidak berperlembagaan.
“Seperti yang diakui oleh kedua-dua Wan, inilah naratif yang mereka jaja kepada Ketua-Ketua Bahagian Bersatu.
“Kononnya Hamzah dapat sokongan orang itu dan orang ini, Hamzah lebih banyak ‘berbelanja’ daripada orang itu dan orang ini, Hamzah lebih ‘mesra’, berbanding orang itu dan orang ini. Atas sebab ini Hamzah lebih layak menjadi Presiden,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Machang itu dilaporkan berkata, Muhyiddin melihat Hamzah sebagai ancaman kepada cita-citanya untuk kembali menjadi Perdana Menteri menerusi Perikatan Nasional (PN).
Katanya, ia susulan pengaruh besar yang dimiliki bekas Ahli Parlimen Larut itu dalam kalangan pimpinan dan akar umbi parti.
Mengulas lanjut mengenai kemelut yang berlaku itu, Marzuki berkata, sekiranya naratif yang dimainkan digunakan sebagai pertimbangan memilih seorang pemimpin, beliau tidak mempunyai masalah mengenainya.
“Cuma saya hairan, kedua-dua Wan ini beralih arah menyokong Hamzah sebaik sahaja Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2021.
“Gerakan Hamzah untuk menjatuhkan Muhyiddin pun sudah bermula sejak dari itu. Sebelum itu, merekalah yang paling setia.
“Alasan-alasan di atas itulah yang saya dengar menyebabkan mereka tak suka Muhyiddin dan lebih suka kepada Hamzah. Tetapi kenapa dalam pemilihan parti pada 2024 mereka berkempen sebagai pasukan Presiden?.
“Malah mereka menjelajah ke seluruh negara menjaja bahawa merekalah pasukan yang mendapat mandat Presiden. Malah yang mengetuai kempen Mandat Presiden ini ialah Hamzah sendiri.
“Saya rasa kedua-dua Wan ini tak kenal Hamzah. Yang kenal tahulah,” katanya.


