Kerajaan negeri Pahang lancar tujuh buku di PBAKL 2026

KERAJAAN negeri Pahang hari ini melancarkan tujuh buku eksklusif yang mengetengahkan identiti, kekayaan biodiversiti, warisan serta produk pelancongan negeri itu sempena penyertaan dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penerbitan berkenaan dihasilkan sebagai usaha mendokumentasikan keunikan negeri itu selain memperkenalkannya kepada masyarakat dalam dan luar negara.

WAN Rosdy Wan Ismail melihat koleksi buku yang dipamerkan selepas merasmikan Koleksi Buku Eksklusif Negeri Pahang dan Pristine Pahang sempena PBAKL di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur hari ini

“Apabila kita berbicara mengenai Pahang, janganlah hanya melihat kepada keluasan hutannya, kekayaan khazanah alamnya atau angka-angka pencapaian yang berjaya direkodkan semata-mata.

“Lebih daripada itu, Pahang sebenarnya adalah sebuah negeri yang sarat dengan cerita. Cerita mengenai sebuah negeri yang sedang melangkah maju tanpa melupakan akar sejarah dan identitinya.

“Sebab itulah penerbitan buku-buku yang dilancarkan pada hari ini membawa makna yang cukup besar. Ia bukan sekadar himpunan gambar, fakta atau dokumentasi. Ia adalah rakaman perjalanan sebuah negeri yang menghubungkan masa lalu, masa kini dan masa hadapan.

“Setiap buku ini membawa cerita dan nilai tersendiri mengenai Pahang. Saya berharap masyarakat mengambil peluang untuk membaca dan mengenali negeri ini dengan lebih dekat menerusi penerbitan yang dihasilkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Koleksi Buku Eksklusif Negeri Pahang dan Pristine Pahang sempena PBAKL di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Tujuh buku berkenaan adalah Sketch Pahang: Pahang First Edisi Istimewa, Best Places in Tengku Hassanal Wildlife Reserve, Pahang Passage Through Sight and Soul, Dasar Biodiversiti Negeri Pahang, Pahang State Action Plan for Peatlands 2026-2035, Pasport Pahang: Edutourism Trail @ Kuantan dan Celebrating 25 Years Forest Frontier Discoveries.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, penyertaan Pahang dalam festival buku terbesar negara itu turut mendapat sambutan memberangsangkan apabila kehadiran pengunjung dari negeri berkenaan meningkat berbanding tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan lebih ramai rakyat Pahang dan orang ramai mengunjungi festival berkenaan yang disifatkan sebagai platform penting untuk memupuk budaya membaca serta menambah ilmu pengetahuan.

“Festival buku ini menawarkan pelbagai bahan bacaan yang bermanfaat kepada semua lapisan masyarakat, sama ada kanak-kanak, pelajar mahupun golongan dewasa.

“Peluang seperti ini hanya datang sekali setahun dan saya berharap lebih ramai masyarakat memanfaatkannya untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img