SEORANG lelaki yang mempunyai 20 rekod jenayah diberkas kerana dipercayai terlibat dalam kes ragut rantai emas bernilai RM14,000 di Taman Connaught Cheras, Kuala Lumpur pada 12 April lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditahan dalam serbuan di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor pada 24 Mei lalu hasil maklumat dan risikan yang dijalankan pihak polis.
“Kejadian ragut berkenaan berlaku pada jam 8 pagi di sebuah restoran kopitiam.
“Mangsa ketika itu sedang bersarapan bersama isterinya di bahagian luar restoran sebelum dihampiri seorang lelaki yang menunggang motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Rosdi, suspek kemudian bertindak meragut rantai leher emas berserta loket milik mangsa dan segera melarikan diri.
“Berkutan kejadian itu mangsa mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM14,000,” katanya.
Katanya, bertindak atas maklumat yang diperoleh, polis menjalankan serbuan kira-kira jam 2.30 petang di tepi Jalan Kinrara 6, Bandar Kinrara sebelum berjaya menahan suspek.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 20 rekod jenayah lampau dan empat rekod berkaitan dadah,” katanya.
Menurut beliau, kes ini disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
“Permohonan reman terhadap suspek telah ditolak dan lelaki itu dilepaskan dengan jaminan polis. Kertas siasatan telah dilengkapkan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


