SEORANG penjenayah buruan warga Jepun yang melarikan diri sejak tujuh tahun lalu akhirnya diberkas sebelum dihantar pulang ke negara asal.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, lelaki itu dikehendaki pihak berkuasa Jepun berhubung kes pembunuhan pada 2018 dan turut tersenarai dalam notis merah Interpol.
Menurutnya, penahanan dilakukan Bahagian NCB/Interpol (D12) JSJ Bukit Aman susulan permohonan bantuan daripada pihak Jepun.
“Suspek pada mulanya ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Kedah atas kesalahan dadah dan imigresen sebelum dikenal pasti sebagai individu yang dikehendaki pihak Jepun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek telah mengubah identiti serta menyamar sebagai warga Myanmar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Bagaimanapun, pengesahan identiti berjaya dibuat melalui kaedah forensik termasuk cap jari, pengecaman wajah dan analisis DNA.
“Profil DNA suspek yang dihantar ke Bahagian Forensik DNA Databank Malaysia (D13) disahkan sepadan dengan profil DNA yang diterima dari Jepun,” katanya.
Menurutnya, sebelum dihantar pulang, suspek telah didakwa di Mahkamah Alor Setar pada 27 Ogos 2025 atas kesalahan berkaitan dadah dan imigresen.
“Suspek dijatuhi hukuman penjara 12 bulan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, 10 bulan di bawah Seksyen 12(2) akta sama serta lapan bulan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.


