BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terentang, Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Yazid Baba meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur awal pagi ini.
Berita pemergian tokoh politik Negeri Sembilan berusia 92 tahun itu dimaklumkan anaknya yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mastura menerusi hantaran Facebook hari ini.
Mastura yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar memaklumkan Allahyarham bapanya meninggal dunia jam 4.36 pagi dan jenazahnya disembahyangkan di Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara selepas solat Zuhur sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa, menerima segala amal bakti, melapangkan kubur, menerangi tempat persemadiannya dengan cahaya rahmat-Nya serta mengurniakan buat beliau syurga firdaus tertinggi,” katanya.
Mohd Yazid pernah berkhidmat sebagai ADUN Terentang yang kini dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong selama tiga penggal selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1974, 1978 dan 1982, selain pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan.
Selain aktif dalam politik, beliau yang mempunyai latar belakang dalam perkhidmatan polis dan bidang guaman pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) serta Timbalan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak).
Mohd Yazid juga abang sulung Naib Canselor pertama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Allahyarham Tan Sri Rashdan Baba.
Allahyarham meninggalkan balu Puan Sri Zainun Yusuff, lima anak serta cucu dan cicit.


