DAP Johor mengakui dengan berat hati menerima keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim untuk bersara daripada politik dan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Pengerusinya, Teo Nie Ching berkata, beliau menghormati keputusan Marina namun menyifatkan ia sebagai satu kehilangan besar kepada parti memandangkan beliau mempunyai rekod perkhidmatan dan potensi kepimpinan yang tinggi.
“Saya menerima pengumuman Marina untuk tidak bertanding dalam PRN akan datang serta berundur dari arena politik dengan perasaan berat hati.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan atas perjalanan dan sumbangan beliau yang begitu bermakna sepanjang pembabitannya dalam perjuangan parti.
“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau membuktikan dirinya sebagai seorang pemimpin yang berdedikasi serta bekerja keras, termasuk di luar kawasan tradisi sokongan DAP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media hari ini melaporkan, Marina mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusinya pada PRN Johor akan datang.
Wakil rakyat DAP itu menegaskan keputusan berkenaan dibuat selepas berbincang dengan keluarga serta penyokong rapat.
Dalam pada itu, Neo Ching berkata, sebelum keputusan dibuat, Marina dilihat calon paling berpotensi yang mempunyai peluang kemenangan paling tinggi untuk menggalas misi strategik DAP melangkah keluar daripada kawasan tradisi parti.
“Malah kepimpinan parti turut mencadangkan beliau sebagai pengerusi sebuah badan berkanun, yang dilihat mampu menjadi medan untuk beliau terus menyumbang secara konstruktif kepada masyarakat dan negara.
“Semua perkara ini sudah dijelaskan secara terperinci kepada Marina dalam perbincangan bagi memberikan keyakinan bahawa parti akan terus bersama beliau tanpa mengira apa pun keputusan kelak,” katanya.
Beliau berkata, DAP Johor amat menghargai pemimpin yang sanggup mengambil langkah taktikal yang berani demi kepentingan parti dan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk bersama dalam menempuh cabaran, khususnya apabila berdepan situasi yang penuh ketidakpastian.
“Namun, sekiranya sebarang perbincangan berkaitan strategi PRN Johor menimbulkan rasa kurang senang atau mengguris hati beliau dalam apa cara sekali pun, saya ingin merakamkan rasa kesal secara terbuka.
“Justeru sebagai pengerusi, menjadi tanggungjawab saya untuk merangka strategi terbaik bagi menghadapi PRN Johor yang bakal tiba.
“Bagi pihak DAP Johor, kami mendoakan yang terbaik buat beliau dalam apa juga bidang yang bakal diceburi selepas ini, serta yakin akan ada banyak lagi ruang dan peluang pada masa hadapan untuk kita bekerjasama demi kebaikan masyarakat dan negara,” katanya.


