MCMC turunkan 398 kandungan 3R sehingga April

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan sebanyak 398 kandungan berkaitan isu agama, raja dan kaum (3R) sehingga April lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, tindakan itu merupakan sebahagian daripada maklum balas terhadap 750 aduan yang diterima bagi permohonan menurunkan kandungan sensitif bagi tempoh awal tahun ini hingga April.

Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 8,540 kandungan 3R telah diturunkan sejak 2022 hingga bulan lalu.

“Kita melihat aduan yang diterima meningkat setiap tahun. Pada 2022, sebanyak 175 kandungan diturunkan dan jumlah itu meningkat kepada 1,633 pada tahun berikutnya. Begitu juga pada 2024, jumlah itu bertambah kepada 4,830, namun menurun kepada 1,504 pada tahun lepas.

“Bagi tahun ini, 750 permohonan telah dihantar kepada pemilik platform dan setakat ini, 398 kandungan telah diturunkan setakat 30 April,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Pendidikan Pencipta Kandungan TikTok Shop di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senai, di Johor Bahru hari ini.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, kebanyakan kes berkaitan kandungan 3R disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan persefahaman antara agensi itu dengan MCMC.

“MCMC bertindak sebagai rakan teknikal dengan menyediakan sokongan kepakaran bagi membantu pihak polis mengenal pasti individu di sebalik akaun terlibat.

“Keputusan sama ada sesuatu kes itu diambil tindakan di mahkamah mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tertakluk kepada pertimbangan Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Sementara itu, Nie Ching berkata, Bengkel Pendidikan Pencipta Kandungan TikTok Shop anjuran MCMC bersama TikTok Shop merupakan usaha memperkasakan literasi digital dan etika penghasilan kandungan.

Beliau berkata, inisiatif ini bertujuan membantu peserta meningkatkan kemahiran digital, mempelajari strategi perniagaan dalam talian serta memperkukuh potensi pendapatan melalui platform TikTok Shop.

“Program ini bukan sahaja merangkumi teori, tetapi juga latihan amali bagi memastikan peserta benar-benar memahami cara menghasilkan kandungan yang berkualiti dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 19 lokasi di Johor telah dikenal pasti untuk pelaksanaan bengkel berkenaan, yang turut ditawarkan dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu, Tamil dan Mandarin.

Program itu, katanya, akan diperluas ke negeri lain bergantung pada permintaan serta keberkesanan pelaksanaannya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya generasi muda agar menghasilkan kandungan yang membawa mesej positif dan tidak menyentuh isu sensitif.

“Tidak semua kandungan perlu bersifat sensasi atau provokatif untuk menjadi tular. Kandungan yang menyentuh hati seperti ‘Abang Minyak Hitam Jalanan’ dan Dicky yang tular baru-baru ini telah diberi pengiktirafan khas Sahabat Perpaduan MADANI oleh Kementerian Perpaduan Negara, membuktikan bahawa mesej positif juga mampu menarik perhatian ramai.

“Kita semua sebagai pencipta kandungan perlu lebih bertanggungjawab dan boleh mencontohi ikon-ikon ini dalam menghasilkan kandungan yang memberikan impak baik kepada masyarakat,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img