SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 13 sebuah apartmen di Taman Cahaya Ampang, Kuala Lumpur malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 7.45 malam.

Menurut beliau, maklumat awal diterima daripada seorang wanita memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak lelaki ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran apartmen berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki tempatan berusia lingkungan sembilan tahun disyaki terjatuh dari tingkat 13 apartmen berkenaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Perubatan daripada Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Anuar berkata, siasatan awal mendapati mangsa berseorangan di rumah ketika kejadian.
“Bedah siasat ke atas mangsa dijalankan pada jam 9 pagi tadi dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu sama ada wujud unsur kecuaian atau pengabaian daripada pihak yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak itu.
“Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.


