KETUA Jabatan Logistik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintenden Yuslimezam Hashim meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Batang Kali-Genting di Hulu Selangor, hari ini.
Polis Kontinjen Pahang dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, Allahyarham disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan berhampiran sebuah tapak perkhemahan, petang tadi.
“Dimaklumkan bahawa Superintenden Yuslimezam Hashim kembali ke rahmatullah hari ini akibat kemalangan motosikal.
“Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dan Pengerusi Perkep Pahang, Datin Seri Sumarnie Haris mengucapkan salam takziah buat keluarga arwah dan mendoakan agar rohnya dirahmati dan ditempatkan bersama-sama golongan orang beriman,” menurut kenyataan dalam hantaran itu.
Difahamkan, Allahyarham menunggang motosikal dan terbabit kemalangan dengan dua kenderaan berhampiran tapak perkhemahan pada jam 4.46 petang.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor ketika dihubungi memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kemalangan itu dalam masa terdekat.
Terdahulu kemalangan terbabit tular dalam media sosial selepas penduduk memuat naik beberapa gambar memaparkan kesesakan jalan raya akibat insiden berkenaan.


