PASANGAN suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 76, Jalan Kuantan – Segamat dekat Paloh Hinai, Pekan awal pagi ini dipercayai pulang ke kampung menyambut Aidiladha secara mengejut awal pagi sebelum terlibat nahas.
Anak sulung pasangan itu, Muhammad Afiq Syah Lokman Ludza, 20, berkata, dia sempat menghubungi keluarganya kira-kira jam 8 malam tadi bertanyakan bila ibu dan bapanya akan pulang ke kampung.
Bagaimanapun katanya, ibunya hanya memaklumkan belum membuat keputusan pulang ke Jempol, Negeri Sembilan untuk menyambut Aidiladha sama ada malam tadi atau hari ini.
“Emak cuma cakap mungkin akan bergerak balik ke rumah nenek malam ini atau mungkin balik pagi esok kerana belum membuat keputusan.
“Bagaimanapun kira-kira jam 4.30 pagi tadi, bapa saudara memaklumkan bapa dan emak meninggal dunia kerana kemalangan. Saya tidak sangka mereka bergerak balik kampung awal pagi tadi kerana sebelum itu emak memaklumkan belum membuat keputusan,” katanya ketika ditemui media di Unit Forensik, Hospital Pekan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi tadi, Inspektor Syah Lokman Ludza Ramli, 50, serta isteri, Nurulfiza Ardiana Amba, 46, maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Paloh Hinai. Empat anak pasangan terbabit yang berusia 10 dan 18 tahun tercedera.
Dua anak pasangan itu iaitu Muhammad Adib, 18, dan Muhammad Akif, 10, dirawat di Hospital Muadzam Shah, manakala Nur Arissa Safiya, 15, dan Muhammad Aqil, 13, cedera ringan.
Turut tercedera, pasangan suami isteri menaiki sebuah kereta Honda City yang bertembung dengan kenderaan Proton Wira dipandu pegawai polis yang bertugas di Cawangan Perlesenan, Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan terbabit.
Ketika kejadian, kenderaan dipandu Allahyarham Syah Lokman Ludza dalam perjalanan dari Kuantan ke Jempol.
Muhammad Afiq berkata, setiap kali menyambut Aidilfitri dan Aidiladha, mereka sekeluarga akan pulang ke kampung bapanya di Jempol.
Penuntut kolej Vokasional Chenor, di Maran itu sedang menjalani latihan amali di Jerantut berkata, dia pulang bersendirian ke rumah nenek dengan menaiki kereta api petang semalam untuk menyambut Aidiladha.
“Saya tidak menjangkakan mereka balik kampung awal pagi tadi kerana semalam ayah masih bertugas,” katanya.
Jenazah pasangan suami isteri terbabit dituntut waris selepas proses bedah siasat selesai dijalankan di Unit Forensik, Hospital Pekan dan dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Raja Alias 2 di Jempol.


