Marina Ibrahim puji keprihatinan penduduk, bangkai kucing disangka mayat bayi

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim mendedahkan sikap keprihatinan komuniti penduduk di sebuah taman perumahan di Skudai yang melaporkan `kecurigaan’ wujud kes buang bayi di tempat mereka.

Bagaimanapun, kebimbangan penduduk kawasan perumahan itu berhubung dakwaan terdapat mayat bayi ditanam akhirnya terjawab apabila siasatan pihak berkuasa mendapati objek itu adalah bangkai kucing yang dibalut dengan kain.

LOKASI penemuan bangkai kucing ditanam yang disangkakan tempat mayat bayi dibuang ketika lawatan Marina Ibrahim (kanan) di sebuah taman perumahan di Skudai hari ini. GAMBAR: Facebook Marina Ibrahim

Perkara itu dikongsikan oleh Marina dalam hantaran Facebook selepas mengadakan lawatan ke kawasan perumahan itu hari ini.

“Kadangkala, amaran palsu juga boleh menjadi satu peringatan. Semasa lawatan komuniti hari ini, seorang mak cik kelihatan cemas dan mengesyaki bahawa terdapat seseorang yang `menanam bayi’ di kawasan kejiranan tersebut, lalu perkara itu mula menjadi perbualan penduduk setempat.

“Kami segera membuat susulan dengan pihak polis untuk mendapatkan kepastian tentang keadaan sebenar. Lagi pun, perkara seperti ini pernah berlaku sebelum ini, dan sebarang berita yang melibatkan nyawa serta keselamatan tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam hantaran itu malam ini.

Menurut Marina, selepas pemeriksaan dijalankan, didapati bahawa ia hanyalah bangkai seekor kucing yang dibalut dengan kain.

“Semua orang akhirnya menarik nafas lega. Mungkin ada yang menganggap ini hanya perkara kecil, tetapi bagi saya, ia mencerminkan betapa pentingnya sikap prihatin dan saling membantu dalam sesebuah komuniti.

“Jiran tetangga yang sanggup mengambil berat, memaklumkan, serta tampil memberi peringatan merupakan nilai yang amat berharga dalam masyarakat.

“Sudah tentu, sikap prihatin tidak bermaksud membuat tuduhan atau menghukum. Namun apabila berdepan dengan sesuatu yang meragukan, adalah lebih baik untuk mendapatkan kepastian daripada menutup mata dan tidak mengendahkannya,” katanya lagi.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img