POLIS kini memburu dua suspek selepas seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera parah dalam kejadian tembakan di hadapan sebuah pusat hiburan di Taman Industri Jaya, Skudai, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita berusia 27 tahun kira-kira jam 11 malam.
Mangsa lelaki tempatan berusia lingkungan 27 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Seorang lagi lelaki tempatan berusia lingkungan sama mengalami kecederaan akibat terkena tembakan.
“Polis turut percaya terdapat seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan, namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa kenalannya sejurus kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kumarasan berkata, susulan kejadian itu pihaknya kini giat memburu dua suspek yang masih bebas untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


