Mungkinkah hubungan Pas dan Bersatu akan berakhir? Persoalan itu timbul apabila Majlis Syura Ulamak (MSU) Pas memutuskan menyerahkan mandat sepenuhnya kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat bagi mengambil tindakan sewajarnya dalam soal hubungan dengan parti serpihan UMNO itu selaras dengan dasar, prinsip, dan kepentingan perjuangan Pas.
Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, majlis itu menzahirkan kebimbangan serius terhadap krisis dan konflik dalaman Bersatu yang dilihat telah memberi kesan kepada kekuatan, kestabilan, serta keyakinan rakyat terhadap hala tuju Perikatan Nasional (PN).
‘’Keputusan itu dicapai selepas pihaknya meneliti laporan terperinci pimpinan Pas Pusat serta mengambil kira dapatan kajian dan penilaian daripada pakar-pakar penyelidik berhubung perkembangan politik mutakhir.
“Dalam hal ini, MSU menegaskan bahawa Pas akan terus istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan Islam, mendokong agenda penyatuan ummah serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan mana-mana individu atau kelompok,” katanya lapor harakahdaily.net.
Pendirian MSU tersebut bukanlah satu kejutan memandangkan konflik hubungan antara Pas dan Bersatu bermula daripada krisis politik di Perlis dan baru-baru Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu akan mengkaji hubungan dengan Bersatu.
Terbaru Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan kedua-dua parti bergerak beasingan dalam PRU-16 dan menyifatkan hubungan mereka sudah tidak harmoni lagi.
Ahmad menjelaskan bahawa setiap keputusan politik yang diambil oleh Pas mestilah dipandu oleh pertimbangan syarak, maslahah ummah, serta keperluan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan berprinsip.
Beliau menegaskan bahawa Pas tidak akan berkompromi dalam soal kestabilan negara dan agenda memperkasakan penyatuan ummah yang menjadi teras perjuangan parti tersebut.
“Pas berpandangan bahawa setiap keputusan politik mestilah dipandu oleh pertimbangan syarak, maslahah ummah, kestabilan negara dan keperluan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan politik yang berprinsip, matang dan bertanggungjawab.
“Sehubungan itu, Majlis Syura ‘Ulamak telah membuat keputusan untuk menyerahkan perkara ini kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat bagi mengambil tindakan yang sewajarnya, selaras dengan dasar, prinsip dan kepentingan perjuangan parti,” jelas beliau.
Dalam pada itu, kata beliau, Majlis Syura Ulamak turut menyeru seluruh ahli dan pendukung parti agar terus tenang serta mematuhi adab berjemaah dalam mendepani sebarang keputusan yang akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi kelak.
“Majlis Syura Ulamak menyeru seluruh pimpinan, ahli dan pendukung perjuangan agar terus berpegang kepada adab berjemaah, memperkukuh kesatuan saf serta meletakkan kepentingan Islam, ummah dan negara sebagai keutamaan tertinggi.
“Semoga Allah SWT mengurniakan petunjuk, kekuatan dan kebijaksanaan kepada seluruh pimpinan dalam membuat keputusan yang terbaik demi agama, ummah dan negara,” katanya.


