JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan ke atas seorang lelaki yang memandu kereta dengan pasangan wanita tidak memakai tali pinggang keledar serta duduk menghadapnya sehingga tular di media sosial.
Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
“Tindakan akan diambil terhadap pemandu dan penumpang kereta terlibat. Siasatan masih berjalan dan selepas selesai kita akan mengeluarkan saman kepada mereka,” katanya lapor Harian Metro.
Terdahulu, tular di Threads pasangan yang memandu kereta dalam keadaan wanita terlibat melakukan aksi manja tanpa memakai tali pinggang keledar.
Malah, wanita itu turut duduk bersandar pada papan pemuka kereta itu sehingga mengundang kecaman netizen.


