POLIS Pulau Pinang menumpaskan aktiviti pengedaran dadah jenis serbuk methylenedeioxy methamphetamine (MDMA) bernilai RM1.2 juta menerusi serbuan di sebuah rumah sekitar daerah ini bermula kelmarin hingga semalam.
Dalam serbuan jam 2 petang hingga 10 pagi itu, dua lelaki termasuk seorang yang berperanan sebagai ‘runner’ dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 33 tahun telah ditahan untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pada mulanya berjaya menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan di sebuah rumah di sekitar kawasan Bukit Mertajam.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan kediaman membawa kepada rampasan 302 peket plastik pelbagai warna berisi serbuk disyaki MDMA seberat 8,086.8 gram(g) dianggarkan bernilai RM1.2 juta.
“Susulan dari serbuan itu juga membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki tempatan dipercayai rakan sejenayah yang berperanan sebagai runner di kawasan sama. Ketiga-tiga suspek positif dadah ketamin.
“Suspek pertama dan ketiga mempunyai rekod lampau kesalahan dadah serta jenayah. Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah itu bergiat aktif sejak April lalu. Dadah yang dirampas ini boleh merosakkan seramai 26,956 orang yang menggunakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini
Azizee berkata, selain dadah, dua kereta, barang kemas, beg tangan dan wang tunai yang kesemuanya bernilai lebih RM215,000 turut dirampas.
Semua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 16 Jun ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.






