TAKTIK seorang lelaki menawarkan perkhidmatan pengangkutan tanpa lesen kepada pelancong asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membawa padah apabila ditahan penguat kuasa dalam operasi pemantauan di Terminal 1, Sepang, kelmarin.
Dalam operasi tersebut, sebuah van jenis Cam Placer bersama pemandunya ditahan dan disita untuk siasatan lanjut selepas disyaki menjalankan perkhidmatan kereta sewa haram atau ‘ulat’.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, hasil intipan dan pemantauan mendapati suspek menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada lapan warga India dari Terminal 1 KLIA menuju ke Genting Highlands, Pahang.
“Siasatan awal mendapati ‘ulat’ itu telah memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada lapan penumpang warga India dengan kadar tambang sebanyak RM530 yang akan dibayar selepas tiba di destinasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) kerana menjalankan perkhidmatan pengangkutan awam tanpa lesen yang sah.
“Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, mana-mana pihak yang didapati bersubahat dalam aktiviti ‘ulat’ turut boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 243(1) akta yang sama,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah melalui kaunter rasmi di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA atau membuat tempahan menerusi aplikasi e-hailing bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan dan memastikan keselamatan perjalanan terjamin.
“Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan aduan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan,” ujarnya.


