AKPS rampas ubat tidak berdaftar, racun RM7.7 juta di KLIA

AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya mematahkan cubaan menyeludup ubat-ubatan tidak berdaftar dan racun terkawal bernilai keseluruhan RM7.7 juta dalam dua pemeriksaan berasingan di Terminal 1 dan 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Komander Pintu Masuk AKPS KLIA Mohd Safrie Zakaria berkata, kedua-dua rampasan dilakukan pada Ahad dan semalam membabitkan dua warga China yang tiba menerusi penerbangan dari Bangladesh.

Menurutnya, dalam kejadian pertama kira-kira jam 3.30 pagi Ahad lalu, pihaknya memeriksa seorang lelaki warga China sebelum menemui 3,300 unit ubat suntikan berlabel ‘Tirzide’ dianggarkan bernilai RM2.335 juta.

“Produk berkenaan disyaki mengandungi Tirzepatide iaitu racun terkawal di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952 dan tidak berdaftar,” katanya pada sidang media di pejabat AKPS KLIA, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan kedua pada kira-kira jam 5.30 pagi semalam membabitkan seorang wanita warga China yang turut membawa ubat suntikan tidak berdaftar.

“Hasil pemeriksaan ke atas bagasinya menemukan 8,840 unit ubat suntikan berjenama ‘Tirzide’ dan ‘Tirzep’ yang dipercayai mengandungi bahan sama dengan nilai rampasan mencecah RM5.4 juta,” katanya.

Mohd Safrie berkata, pihaknya memandang serius kegiatan penyeludupan ubat-ubatan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Penggunaan ubat tidak berdaftar, khususnya yang mengandungi racun terkawal tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar, boleh mendatangkan risiko kesihatan serius serta kesan sampingan yang memudaratkan nyawa,” katanya.

Menurutnya, semua ubat berkenaan dirampas untuk tindakan lanjut mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952 serta Akta Racun 1952 kerana mengimport produk tidak berdaftar dan racun tanpa lesen sah.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img