BARISAN Nasional (BN) parti sekutu dalam Kerajaan Perpaduan akan melancarkan jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Ahad ini manakala Parti Bersama Malaysia (Bersama) diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli akan memulakan Jelajah Seluruh Negara di negeri tersebut pada Sabtu.
Kedua-dua program itu sudah tentulah akan ‘menghangatkan’ PRN tersebut selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin lalu.
Pada masa sama wujud pula ura-ura DUN Melaka dan Negeri Sembilan juga akan dibubarkan dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun kesemua perkembangan itu tidak mengganggu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hari ini menegaskan, beliau tidak bimbang dengan PRN yang bakal berlangsung.
Sebaliknya, Anwar berkata, kerajaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat.
Ketika ditanya sama ada beliau risau mengenai PRN, Anwar berkata beliau kini memberi fokus sepenuhnya kepada kerja kerajaan.
“Kenapa perlu risau? Saya tidak risau. Saya sedang fokus pada kerja saya. Masalahnya, beberapa daripada pihak mereka tidak memikirkannya. Kita harus fokus pada kerja,” katanya kepada pemberita sempena Persidangan Peralihan Tenaga 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Mengulas pertanyaan sama ada PRN perlu diadakan ketika ini, Anwar berkata perkara tersebut bergantung kepada keputusan pihak terlibat.
“Ia adalah keputusan mereka. Kami (kerajaan) mempunyai keutamaan untuk fokus pada pekerjaan kami,” katanya.


