Lelaki Rohingya mengaku tidak bersalah sebabkan kematian penunggang RXZ

SEORANG lelaki etnik Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Marang hari ini, atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam kemalangan, bulan lalu.

Tertuduh, Shah Dullah Abul Hashim membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Athirah Hashim mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu sebuah kereta jenis Proton Saga secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Saifullah Isyraf Shamsudin, 27.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 12.5 Jalan Kuala Terengganu–Kuantan berhampiran Kampung Rusila kira-kira pukul 6 petang pada 27 Mei lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda sehingga RM50,000, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia.

Selain itu, tertuduh turut diperintahkan melapor diri di Balai Polis Marang sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 8 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa yang menunggang motosikal Yamaha RXZ dari arah Kuala Terengganu ke Rusila dipercayai terlibat dalam perlanggaran dengan kereta dipandu tertuduh yang sedang membelok ke kiri di laluan sama.

Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia pada 2 Jun lalu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img