WARGANEGARA Malaysia akan memperolehi pasport dengan tempoh sah laku sehingga 10 tahun pada kadar bayaran RM350 yang dijangka dilaksanakan tahun ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, warta kerajaan berkaitan pembaharuan tempoh sah laku pasport itu, yang sebelum ini ditetapkan selama lima tahun, sudah diwartakan.
“Maklumat ini seperti yang diwartakan (dalam warta kerajaan). Tarikh pelaksanaan akan dimaklumkan kemudian,” katanya lapor Berita Harian merujuk Perintah Fi (Pasport dan Visa) (Pindaan) 2026 yang diterbitkan dalam Warta Kerajaan hari ini.
Menerusi warta kerajaan yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, individu berusia 60 tahun ke atas hanya dikenakan bayaran RM175 bagi pasport tempoh sah laku 10 tahun.
Golongan orang kurang upaya (OKU) berumur 18 tahun ke atas yang berdaftar di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008 pula layak memperoleh pasport berkenaan secara percuma.
Warta sama turut menetapkan kadar bayaran baharu bagi penggantian pasport rosak atau hilang untuk warganegara berumur 13 hingga 59 tahun, iaitu RM550 bagi kes pertama, meningkat berbanding RM400 sebelum ini.
Bagi penggantian kali kedua, fi ditetapkan sebanyak RM850, manakala penggantian seterusnya dikenakan bayaran RM1,350.
Untuk warganegara berusia lebih 60 tahun, kadar bayaran penggantian ditetapkan RM375 bagi kes pertama, RM675 bagi kali kedua dan RM1,175 untuk kes berikutnya.
Bagi OKU berumur 18 tahun ke atas serta pegawai Imigresen, kadar bayaran penggantian pasport ialah RM200 bagi kes pertama, RM500 bagi kali kedua dan RM1,000 untuk penggantian seterusnya.
Ketika ini, rakyat Malaysia dikenakan bayaran RM200 bagi pasport tempoh sah laku lima tahun, manakala warga emas dikenakan kadar RM100.


