TEMPOH reman seorang lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan membabitkan penemuan mayat reput dibalut tilam dengan kedua-dua tangan terikat di sebuah rumah kedai di Pokok Mangga, Melaka dilanjutkan tujuh hari lagi bermula hari ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, lanjutan reman terhadap suspek berusia 40 tahun itu diperlukan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Polis masih menunggu arahan daripada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada Jumaat lalu, media melaporkan penemuan satu mayat dalam keadaan reput yang dibalut dengan tilam dan diikat kedua-dua tangan di sebuah rumah kedai di kawasan Pokok Mangga.
Siasatan awal polis mendapati mayat dipercayai mangsa bunuh berdasarkan keadaan penemuan serta proses pereputan yang sudah terlalu teruk.
Polis mengesyaki kejadian berlaku antara dua minggu hingga sebulan sebelum mayat ditemukan, sehingga menyebabkan jantina dan identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti.
Susulan penemuan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


