PEMIMPIN Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, menegaskan bahawa Teheran tidak akan berundur daripada pendiriannya terhadap Israel sambil memuji ketahanan rakyat Iran dalam menghadapi tekanan luar.
Dalam ucapan sempena ulang tahun ke-37 kematian pengasas Republik Islam Iran, Ruhollah Khomeini, Khamenei berkata pelbagai usaha musuh untuk melemahkan Iran dan mencetuskan perpecahan dalaman telah gagal.
Menurut beliau, pihak yang menentang republik Islam itu bukan sahaja menggunakan tekanan ketenteraan, malah melancarkan perang psikologi, media, politik dan ekonomi bagi melemahkan keyakinan rakyat serta menggugat perpaduan negara.
“Kami berjaya menggagalkan rancangan musuh. Mereka mahu melemahkan keteguhan rakyat Iran dan menimbulkan perpecahan dalam negara,” katanya seperti dipetik media Iran.
Khamenei mendakwa Iran kini muncul lebih kuat selepas berdepan pelbagai cabaran, sambil menegaskan bahawa usaha untuk menjejaskan kestabilan politik dan sosial negara tidak berjaya.
Beliau turut memberi amaran bahawa cubaan menyebarkan rasa putus asa dan ketidakpercayaan dalam kalangan rakyat hanya akan membantu pihak yang mahu melemahkan Iran.
Dalam ucapannya, Khamenei sekali lagi mengulangi pendirian keras Iran terhadap Israel.
Beliau mendakwa Israel diwujudkan sebagai “pangkalan ketenteraan” oleh kuasa-kuasa dominan dunia dan menegaskan bahawa Iran tidak akan mengubah pendiriannya walaupun berdepan tekanan antarabangsa.
Menurutnya, kuasa yang menyokong Israel juga tidak mahu melihat Iran menjadi sebuah negara yang kuat dan berpengaruh di rantau tersebut.
Khamenei turut menyatakan kebanggaannya terhadap apa yang digelar sebagai “Front Penentangan” atau Resistance Front, yang merujuk kepada rangkaian kumpulan dan gerakan yang disokong Iran di rantau Asia Barat.
Beliau berkata rakyat Iran berbangga menjadi sebahagian daripada gerakan tersebut hasil perjuangan Imam Khomeini dan Ali Khamenei.
Sebahagian besar ucapan itu tertumpu kepada legasi Imam Khomeini, yang menurut Khamenei berjaya membangkitkan kesedaran rakyat Iran ketika negara itu berdepan penindasan politik dan pengaruh asing sebelum Revolusi Iran 1979.
Beliau menyifatkan Khomeini sebagai tokoh yang berjaya menggerakkan jutaan rakyat Iran semasa revolusi dan terus memberi inspirasi kepada negara itu selepas kematiannya pada tahun 1989.
Khamenei menegaskan bahawa memahami visi Khomeini adalah penting untuk menentukan hala tuju masa depan Iran.


