Harapan Bersatu pertahan DUN Endau tergugat, Alwiyah kembali sertai UMNO

HARAPAN Bersatu untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau tergugat apabila ADUN parti itu, Alwiyah Talib mengumumkan keluar daripada Bersatu dan kembali menyertai UMNO.

Alwiyah yang dianggap mampu mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi mengumumkan pendirian beliau pada sidang media di Mersing.

Menurut Alwiyah yang  juga Ketua Bersatu Bahagian Mersing itu berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai aspek yang disifatkan penting demi kebaikan serta masa depan kawasan DUN Endau.

Katanya, keputusan tersebut turut melibatkan peletakan semua jawatan yang disandangnya dalam Bersatu dan dibuat atas kehendak sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“Setelah mengambil kira beberapa aspek, demi kebaikan dan masa depan DUN Endau, saya telah membuat keputusan untuk mengumumkan keluar daripada parti Bersatu dan meletakkan segala jawatan saya dalam parti berkuat kuasa serta-merta serta kembali bersama UMNO,” katanya.

Alwiyah turut menegaskan perjuangannya  terus berkhidmat kepada rakyat di DUN Endau tidak akan berubah walaupun meninggalkan Bersatu.

Katanya, langkah tersebut dibuat demi memastikan kelangsungan pembangunan kawasan serta memperkukuh aspek penyatuan dalam kalangan masyarakat di DUN berkenaan.

“Saya percaya tindakan ini dibuat antara lain demi kelangsungan dan masa depan yang lebih baik selain terus memperkukuh aspek penyatuan bagi DUN Endau,” katanya.

Dalam pada itu, Alwiyah turut merakamkan penghargaan kepada para pengundi dan semua pihak yang telah memberikan sokongan serta kerjasama sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan tersebut sejak 2018.

Beliau berharap hubungan baik yang terjalin selama ini dapat diteruskan demi memastikan kebajikan rakyat Endau terus terbela.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2018, Alwiyah pertama kali memenangi kerusi DUN Endau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket Barisan Nasional (UMNO).

Namun, pada Mei 2018, beliau bersama beberapa ADUN Johor yang lain telah keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu.

Pada PRN2022, beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Endau di bawah tiket Perikatan Nasional (PN-Bersatu) dalam pertandingan lima penjuru.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img