SEJUMLAH 8,862 kenderaan didaftarkan di bawah penambahbaikan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), yang berkuat kuasa mulai 1 Jun lepas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia melibatkan 8,524 pikap diesel, 329 jip diesel dan sembilan jip petrol bagi tempoh 1 hingga 3 Jun.
Berikut kenyataan penuh beliau melalui Facebook:
Susulan daripada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengumumkan beberapa penambahbaikan mekanisme pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pada23 Mei 2026.
Antara penambahbaikan yang akan berkuat kuasa bermula 1 Jun 2026 adalah:
- Peluasan kelayakan SKDS dan SKPS kepada kenderaan jenis jip dan pikap bagi sektor pengangkutan darat barangan.
Selain berdaftar atas nama syarikat/entiti perniagaan, syarat kelayakan juga meliputi kategori kegunaan yang direkodkan dalam Lesen Kenderaan Motor (LKM) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta memastikan status pendaftaran kenderaan sebagai kenderaan perdagangan.
Peluasan SKDS/SKPS adalah bagi kenderaan jenis pikap dan jip di bawah kelas kegunaan Barang Rigid dan Barang Rigid Decon 950 kilogram hingga 7,500 kilogram. Kenderaan yang didaftarkan di bawah kategori Kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan, Kategori Khas Lain serta Barangan-Tiada Permit/Off-Road adalah tidak tersenarai.
Setakat 1 hingga 3 Jun 2026, sebanyak 8,862 buah kenderaan telah berjaya mendaftar, melibatkan 8,524 pikap diesel dan 329 buah jip diesel dan 9 buah jip petrol.
- Pelarasan had kuota tetap SKDS bagi sektor pengangkutan barangan, bagi memperkukuh mekanisme kawal selia untuk mengekang ketirisan subsidi dan penyalahgunaan fleet card.
Setiap fleet card akan mempunyai kuota tetap antara 900 liter hingga 5000 liter sebulan, tertakluk kepada had kuota yang ditetapkan bagi setiap 23 jenis kenderaan yang disenaraikan layak dalam SKDS.
Penetapan kuota telah dibuat berdasarkan analisis data penggunaan sebenar yang direkodkan sepanjang hampir dua tahun pelaksanaan SKDS sejak tahun 2024.
Sebagaimana yang telah diumumkan pada 23 Mei 2026, bagi syarikat/entiti perniagaan yang mempunyai keperluan operasi melebihi kuota yang ditetapkan, KPDN menyediakan mekanisme rayuan tambahan kuota melalui Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP). Permohonan hendaklah disokong dengan justifikasi keperluan beserta rekod penggunaan sebenar sekurang- kurangnya tiga bulan.
Setakat 1 hingga 3 Jun 2026, sebanyak 8 syarikat telah mengemukakan permohonan rayuan tambahan kuota yang melibatkan 82 kenderaan telah diterima dan sedang diproses untuk pertimbangan JKSP.
KPDN akan terus menambah baik pelaksanaan SKDS dan SKPS bagi memastikan subsidi bahan api disalurkan secara bersasar dan mengekang ketirisan sama ada dalam bentuk penyelewengan dan penyeludupan.


