‘Ada hati lagi ke Bersatu dengan PN?’ – Ahmad Samsuri

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempersoalkan kesediaan parti Bersatu untuk terus bersama gabungan itu susulan kemelut dalaman yang berlarutan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Ogos lalu.

“Dengan apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini, sejak PRN Negeri Sembilan, ada hati lagi ke (Bersatu) dengan Perikatan Nasional ni?,” katanya ketika tiba untuk menghadiri Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi PN yang diadakan di Pejabat Agung Pas di ibu negara malam ini, lapor Sinar Harian.

Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan mempersoalkan kesahihan mesyuarat tergempar itu susulan pembatalan pendaftaran PN oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada Selasa lalu.

Beliau dilaporkan berkata, perintah penggantungan pelaksanaan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak bermakna pendaftaran PN dipulihkan secara automatik.

PN pula sebelum ini dilaporkan mengajak Bersatu menghadiri mesyuarat tergempar berkenaan bagi membincangkan kemelut dalaman gabungan itu.

Mesyuarat yang diadakan atas arahan Ahmad Samsuri itu turut menjemput Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mencari kata sepakat berhubung isu berkenaan.

Pertemuan itu berlangsung selepas Mahkamah Tinggi pada 22 Oktober lalu menangguhkan pelaksanaan pembatalan pendaftaran PN sementara menunggu keputusan semakan kehakiman. Persiapan menghadapi PRN Melaka turut menjadi antara perkara dalam agenda perbincangan.

Ketika diminta mengulas pendirian Bersatu bahawa mesyuarat tergempar PN itu tidak boleh diadakan, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya sudah mengemukakan jemputan kepada parti berkenaan.

“Kita dah jemput Bersatu untuk datang mesyuarat. Mengenai dakwaan mesyuarat tak boleh diadakan pula, itu pandangan merekalah,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here