SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Jun ini.
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata suruhanjaya itu telah menerima notis daripada Speaker Dewan Negeri Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 2 Jun, sebagaimana termaktub di bawah Fasal 23 (2) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
“Berdasarkan Fasal 23 (4) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 berkehendakkan suatu pilihan raya diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Negeri tersebut.
“Mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun, yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Johor ke-16 seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas itu.


