PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada sebarang perbincangan mengenai cadangan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) 2.0 antara UMNO dan Pas setakat ini.
Katanya, pertemuan politik UMNO dan Pas yang diadakan malam semalam tidak melibatkan presiden-presiden parti, sebaliknya lebih tertumpu kepada soal kolaborasi politik dan agenda nasional.
Beliau berkata politik bersifat dinamik dan BN sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan politik mahupun agenda nasional demi memastikan kestabilan negara tidak tergugat.
“Tidak ada perbincangan mengenai perkara itu (MN 2.0),” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pameran Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2026 di Dataran Putrajaya hari ini.
Hari ini, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan pertemuan antara pemimpin parti itu dengan UMNO semalam.
Bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut sebaliknya hanya menjawab ‘’itu satu pandangan’’ apabila ditanya adakah ia berkaitan MN 2.0.
Mengulas lanjut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata ketika ini keutamaan UMNO dan BN adalah memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara menerusi kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, yang dibentuk bersama Pakatan Harapan (PH) serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak.
“Yang paling penting ialah terus mengekalkan kerajaan yang ada ini sehingga akhir penggal Parlimen ke-15,” katanya.
Mengenai PRN Negeri Sembilan, Ahmad Zahid berkata, BN bersedia menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di Negeri Sembilan dan terbuka untuk meneruskan kerjasama bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan di negeri itu.
Ahmad Zahid berkata bagaimanapun menegaskan masih terlalu awal untuk mengadakan rundingan rasmi mengenainya.
“Kita bersedia menghadapi pilihan raya di Negeri Sembilan ini… tentunya kita sangat terbuka untuk terus mengekalkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan,” katanya.


