TINDAKAN polis mengatur penugasan di kawasan Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin hari ini adalah bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan orang ramai terus menjadi keutamaan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, tindakan yang diambil adalah selaras dengan fungsi dan tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967.
“Tindakan di bawah Seksyen 21 ini adalah untuk memelihara keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam serta mencegah berlakunya sebarang pelakuan yang menyalahi undang-undang.
“PDRM ingin memaklumkan bahawa kehadiran polis di lokasi adalah semata-mata bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam dan pematuhan kepada undang-undang tanpa memihak kepada sesiapa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Alzafny berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa bertenang dan mematuhi undang-undang serta tidak terlibat dalam sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau mengganggu proses yang sedang berjalan.
“Keadaan di lokasi adalah terkawal dan PDRM akan terus memantau perkembangan semasa serta mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.
Terdahulu, suasana di pekarangan Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin, pagi tadi, tegang ketika pembesar adat iaitu tiga Undang Luak, tidak dibenarkan masuk untuk menghadiri Sidang Khas, Dewan Keadilan dan Undang (DKU).


