KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh malam ini menegaskan tidak tertekan dengan tekanan politik supaya beliau membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak dengan Negeri Sembilan dan Johor.
Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan PRN Melaka diadakan serentak dengan negeri lain sekiranya keadaan memerlukan.
“Dalam politik, tiada yang mustahil. Politik adalah seni seribu satu kemungkinan. Apa pun, kita tunggu dan lihat,” katanya kepada media selepas mengadakan majlis kesyukuran di kediamannya di Masjid Tanah.
Ab Rauf berkata, Melaka tidak perlu tergesa-gesa membubarkan DUN memandangkan tempoh habis penggal DUN Melaka hanya berakhir pada hujung tahun ini dan dalam tempoh berkenaan, pembubaran boleh dilakukan pada bila-bila masa.
“Suasana dan keadaan di Johor tidak sama dengan Melaka, begitu juga di Negeri Sembilan yang tidak memerlukan Melaka membubarkan DUN secara segera. Kita akan terus menjalankan urusan kerajaan dan menyantuni rakyat sehingga satu tarikh yang akan diumumkan secara rasmi,” katanya
Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, Melaka tidak akan terikut dengan rentak politik negeri lain memandangkan kerajaan negeri mempunyai acuan dan pertimbangan tersendiri dalam menentukan masa sesuai untuk membubarkan DUN.
Katanya, segala keputusan berkaitan pembubaran DUN perlu mengambil kira kestabilan pentadbiran kerajaan negeri serta keutamaan untuk menyelesaikan urusan membabitkan kepentingan rakyat terlebih dahulu.
Beliau berkata, Melaka juga mahu memberi tumpuan membantu jentera parti menghadapi PRN di Johor dan Negeri Sembilan sebelum sebarang keputusan dibuat di peringkat negeri ini.
“Namun sebagai negeri jiran, kita akan memberikan kerjasama membantu jentera BN bagi memenangkan parti di Johor dan Negeri Sembilan. Hasil keputusan pilihan raya di kedua-dua negeri itu nanti akan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat di Melaka,” katanya.


