KETUA Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin menyeru orang ramai supaya menggunakan bahan api secara berhemah dan mengelakkan pembaziran bagi membantu usaha kerajaan mengurus keperluan tenaga negara dengan lebih berkesan.
Katanya, kerajaan akan terus memantau perkembangan geopolitik global dari semasa ke semasa bagi memastikan sebarang risiko yang boleh menjejaskan bekalan tenaga negara dapat ditangani lebih awal.
“Selain usaha kerajaan, masyarakat juga perlu memainkan peranan masing-masing dengan menggunakan bahan api secara berhemah dan mengelakkan pembaziran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesepaduan Nasional@Tumpat di Wat Machimmaram di Tumpat hari ini.
Beliau berkata, perkembangan semasa di peringkat antarabangsa memerlukan kerajaan mengambil langkah lebih proaktif bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap bekalan tenaga negara.
Oleh itu katanya, kerajaan sedang mempergiatkan usaha mendapatkan sumber bekalan api dari pelbagai negara sebagai langkah persediaan menghadapi ketidaktentuan geopolitik global yang boleh menjejaskan rantaian bekalan tenaga dunia.
Raja Nurshirwan memaklumkan usaha itu dilaksanakan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi memastikan keperluan bahan api negara terus terjamin meskipun dunia berdepan konflik dan ketegangan yang berlarutan.
“Bekalan bahan api negara mencukupi hingga Ogos dan sekarang ini kita sedang mencari sumber bahan api di serata dunia untuk memastikan bekalan bahan api negara mencukupi.
“Alhamdulillah, usaha ini menunjukkan perkembangan yang positif dan kami berharap langkah tersebut akan terus membuahkan hasil,” katanya.
Pada masa sama kata beliau untuk memastikan kecukupan bekalan, kerajaan turut memperketatkan penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan penyeludupan bahan api yang boleh menyebabkan ketirisan subsidi serta menjejaskan bekalan domestik.
Beliau berkata, pendekatan yang diambil kerajaan melibatkan pelbagai aspek termasuk pengurusan bekalan, kawalan sempadan dan kerjasama antara agensi bagi memastikan kepentingan negara terus terpelihara.


