
Oleh Anuar Shaari
SEORANG warga emas di Selayang Baru berdiri di bendul pintu rumahnya. Dia memerhatikan dengan sayu longkang di hadapan yang sering tersumbat dengan sisa domestik akibat penempatan sesak di sekitarnya.
Dahulu, kawasan tersebut bersih dan tenang, namun kini suasananya berubah secara drastik. Suara dialek asing kini lebih dominan kedengaran di kaki lima berbanding bahasa ibunda, mewujudkan satu perasaan asing di tanah air sendiri.
Senario ini bukan lagi satu anomali terpencil, tetapi realiti harian menghimpit ribuan rakyat Malaysia yang hidup berjiran dengan komuniti pelarian Rohingya.
Kehadiran etnik dari wilayah Rakhine, Myanmar bermula atas dasar kemanusiaan dan solidariti agama, kini telah berubah menjadi limpahan populasi yang tidak terkawal. Ia mencetuskan ketegangan sosial paling kritikal dalam sejarah negara.
Berdasarkan data rasmi daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) setakat akhir Februari 2026, terdapat kira-kira 215,600 pelarian dan pencari suaka berdaftar di Malaysia.
Etnik Rohingya membentuk majoriti mutlak populasi tersebut dengan seramai 126,144 orang. Namun, angka ini hanyalah gambaran ‘iceberg’ yang tidak menggambarkan realiti sebenar di lapangan.
Penyelidik dan agensi bantuan percaya bilangan sebenar adalah jauh lebih tinggi memandangkan terdapat anggaran antara 1.2 hingga 3.5 juta migran tidak berdokumen di negara ini.
Hanya 1,970 orang pada tahun 2025 berbanding 8,908 orang imigran tanpa dokumen pada tahun 2024 telah dihantar keluar dan ditempatkan di negara ketiga.
Apabila jumlah ini semakin ‘membengkak’ tanpa sebarang tanda pengurangan melalui penempatan semula ke negara ketiga (seperti tahun sebelumnya), rakyat Malaysia mula mempersoalkan isu ini secara serius.
Adakah kita sedang menggadai kedaulatan dan masa depan tanah air demi sebuah krisis kemanusiaan yang tiada penghujungnya?
Cabaran Malaysia Menangani PATI dan Pelarian
Dasar penerimaan Malaysia terhadap pelarian sebahagian besarnya ditentukan oleh struktur undang-undang domestik yang sangat ketat. Malaysia bukanlah merupakan negara yang berpihak kepada Konvensyen Pelarian PBB 1951 mahupun Protokol 1967.
Sistem perundangan negara mengamalkan doktrin dualis. Ini bermaksud mana-mana perjanjian antarabangsa tidak boleh dikuatkuasakan secara automatik di peringkat domestik melainkan ia telah digubal dan diperundangkan secara nyata oleh Parlimen menerusi akta-akta tertentu.
Kesan langsung daripada ketiadaan rangka kerja perundangan ini adalah pengklasifikasian semua pelarian Rohingya sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Di bawah akta ini, undang-undang tidak membezakan antara pelarian, pencari suaka, dan pendatang tanpa izin. Sesiapa yang memasuki atau menetap di Malaysia tanpa permit yang sah dianggap sebagai penjenayah imigresen yang terdedah kepada risiko penangkapan, penahanan tanpa had, denda, sebatan, serta pengusiran.
Walaupun Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 memberikan sedikit toleransi atas dasar kemanusiaan kepada pemegang kad UNHCR, arahan ini telah mewujudkan “kawasan kelabu” (grey area) yang merugikan kedaulatan negara.
Peguam Norman Fernandez menegaskan bahawa ramai etnik Rohingya kini merasakan mereka mempunyai hak seolah-olah warganegara kerana memiliki kad tersebut. Mereka mula bersikap ‘naik tocang’ dengan mencabar undang-undang tempatan serta menuntut layanan Istimewa yang tidak sepatutnya diberikan.
Jenayah Transnasional dan Kerapuhan Sempadan
Aspek keselamatan merupakan kebimbangan paling utama yang menghantui sanubari rakyat Malaysia. Ketiadaan akses migrasi yang sah memaksa pelarian Rohingya bergantung sepenuhnya kepada rangkaian penyeludupan maritim dan pemerdagangan manusia transnasional yang sangat kejam.
Kedudukan geografi Malaysia yang mempunyai garis pantai panjang serta bersempadan dengan Thailand menjadikannya destinasi impian bagi sindiket jenayah ini mengeksploitasi penderitaan manusia demi habuan kewangan.
- Tragedi Wang Kelian dan Pemerdagangan Manusia Sejarah hitam negara pada tahun 2015 mencatat penemuan 152 mayat di kubur besar di sempadan Malaysia-Thailand. Ini membuktikan wujudnya jenayah penyeludupan manusia.
Wujud juga rangkaian kem pemerdagangan yang menahan ribuan etnik Rohingya dalam sangkar kayu sempit dan tersangat daif. Tragedi ini bukan sahaja membongkar kekejaman sindiket, malah mendedahkan penglibatan penguatkuasa yang korup dalam rangkaian jenayah rentas sempadan ini.
Secara tidak langsung, ia menggambarkan kelemahan integriti keselamatan negara.
- Jenayah Terancang Domestik:
Kebimbangan rakyat terhadap keselamatan adalah berasaskan statistik yang membimbangkan. Rekod PDRM menunjukkan pola penglibatan etnik Rohingya dalam pelbagai jenayah berat seperti samun, pecah rumah dan samun bersenjata.
Sebagai contoh, polis telah berjaya menembak mati tiga penjenayah Rohingya yang merupakan dalang kepada lebih 50 kes samun di beberapa buah negeri.
Data pemantauan di kawasan seperti Tasek Permai, Selangor, menunjukkan ‘trend’ konsisten kes kecurian yang melibatkan komuniti ini, mewujudkan suasana ketakutan yang mendalam dalam kalangan penduduk tempatan.
iii. Kesesakan Depot Tahanan dan Insiden Bolos
Sistem pengurusan tahanan imigresen kini berada pada tahap kritikal. Hampir semua Depot Tahanan Imigresen (DTI) seluruh negara dilaporkan beroperasi melebihi had kapasiti maksimum.
Etnik Rohingya membentuk satu daripada setiap empat orang tahanan. Kesesakan melampau ini bukan sahaja menelan kos pengurusan yang tinggi.
Ia juga telah mencetuskan insiden rusuhan dan bolos seperti kes di DTI Sungai Bakap pada tahun 2022, di mana 528 tahanan Rohingya meloloskan diri dan mengakibatkan kematian beberapa individu di lebuh raya.
- Ancaman Radikalisasi dan Madrasah Tanpa Izin Kewujudan madrasah-madrasah Rohingya yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri menimbulkan kegelisahan mengenai penyebaran doktrin yang tidak dipantau secara rasmi.
Tanpa akses kepada pendidikan formal dan pekerjaan yang sah, generasi muda Rohingya yang kecewa berisiko menjadi sasaran mudah bagi aktiviti jenayah terancang atau pengaruh ideologi radikal.
Akhirnya, ia akan mewujudkan ancaman keselamatan sosial yang lebih besar kepada Malaysia dalam dekad akan datang.
* Anuar Shaari ialah Pengarah Urusan Forum Strategik Massa. Beliau pernah bertugas di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.


